HomeUtamaSHAREDA rayu agar DBKK teliti semula kadar fi lesen

SHAREDA rayu agar DBKK teliti semula kadar fi lesen

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh FLORIETA DIET

KOTA KINABALU: Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA) merayu agar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meneliti semula kadar fi lesen di bawah Undang-undang Kecil (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 yang telah dikuatkuasa awal Januari.

Presidennya Datuk Chua Soon Ping berkata, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah antara yang paling terkesan dengan kadar fi lesen itu selain daripada perlaksanaan penetapan gaji RM1,700 sebulan kepada pekerja.

“Kami berharap DBKK boleh mempertimbangkan caj fi lesen hanya dikenakan kepada pengusaha hotel bajet atau penginapan sewa jangka pendek jika penghunian mereka melebihi 50 peratus. Ini membolehkan PMKS boleh terus bertahan dalam keadaan yang sentiasa mencabar.

“Kami juga memohon agar DBKK akan mempertimbangkan semula perubahan fi kategori Kelas 3 dan Kelas 2 untuk bajet dan penginapan sewa jangka pendek. Caj sewa juga perlu bergantung kepada saiz setiap bilik atau unit pangsapuri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pesta Angpow Bersama Mayor Bandaraya di Bay Suites Likas dekat sini pada Sabtu.

Persatuan itu juga meminta agar cukai pendapatan dikenakan hanya kepada syarikat yang memperolehi keuntungan.

Menurut Chua lagi, sebarang peningkatan kos dalam perkhidmatan PMKS akan memberi kesan ketara kepada keupayaan pelanggan PMKS untuk membeli penginapan.

“Pelanggan PMKS biasanya terdiri daripada pengembara bajet. Keadaan ini akan memburukkan lagi keadaan pasaran yang sedia mencabar di rantau ini,” katanya.

Beliau sangat berharap, DBKK dapat membantu PMKS ini yang kebanyakkan diusahakan oleh usahawan muda, agar mereka sentiasa boleh berdiri di atas kaki mereka sendiri.

“DBKK perlu melihat perkara secara keseluruhannya sekali lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBKK Lifred Wong yang hadir ke majlis itu bagi mewakili Mayor Bandaraya memberi maklum balas bahawa, beliau akan mengambil perhatian perkara-perkara yang telah diutarakan oleh SHAREDA di majlis itu.

“Jika mereka menghadapi sebarang masalah, mereka sentiasa boleh datang ke DBKK, kita akan mendengar dan selesaikan masalah itu,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing dipenjara, didenda berhubung judi sabung ayam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular