Kota Kinabalu : Jumlah mangsa terjejas banjir yang masih berlindung di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah menurun kepada 1,197 orang setakat jam 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu menurun berbanding 1,223 orang yang direkodkan pada jam 12 tengah hari tadi.
“Di daerah Beaufort, jumlah mangsa yang masih berlindung di tiga PPS di daerah itu adalah seramai 685 orang melibatkan 226 keluarga.
“Manakala di Kinabatangan, seramai 260 orang melibatkan 64 keluarga masih berlindung di dua PPS dan jumlah mangsa di PPS di Membakut kekal seramai 252 orang melibatkan 83 keluarga,” menurut kenyataan itu di sini.
Antara PPS yang dibuka di Beaufort adalah di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Selagon; Dewan Bisaya dan Dewan DSP Dun Banir.
Di Kinabatangan, dua PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dan SK Bukit Garam.
Manakala di Membakut, PPS yang dibuka adalah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH