Kota Kinabalu : Lembaga Koko Malaysia (LKM) perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan rantaian bekalan koko domestik pada tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelestarian industri koko terutama dalam menghadapi cabaran global seperti kekurangan bekalan biji koko.
“Saya difahamkan bahawa mulai tahun ini, LKM telah mula melaksanakan Program Galakan Tanaman Koko selama lima tahun yang akan dilaksanakan bermula tahun ini hingga 2029.
“Dengan peruntukan RM4 juta bagi tahun ini, LKM akan memberi insentif anak pokok koko kepada kawasan ladang terpilih seluas 350 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan LKM 2025 di sini semalam.
Hadir sama Pengerusi LKM Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM Datuk Dr. Ramle Kasin.
Johari berkata, Kementeriannya juga menyokong usaha LKM untuk menganjurkan Malaysia International Cocoa Festival (MICF 2025) yang akan dilaksanakan selama empat hari bermula 24 Mei depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Katanya, acara itu sudah pasti akan memberi manfaat kepada pemain industri tempatan untuk berinteraksi dan mengadakan kerjasama strategik dengan pihak industri antarabangsa.
Dalam pada itu, Johari berkata, industri koko Malaysia mencatat perkembangan memberangsangkan pada tahun lalu dengan peningkatan 70 peratus dalam pengeluaran domestik biji koko kering.
Katanya, jumlah pengeluaran itu meningkat daripada 269 tan metrik pada tahun sebelumnya kepada 456 tan metrik pada tahun lalu.
Menurutnya ia adalah hasil daripada pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Koko yang diperkenalkan sejak awal tahun lalu.
“Dengan peruntukan RM9.5 juta bagi tempoh 2024 hingga 2026, program ini telah memberi manfaat kepada 3,296 pekebun kecil koko yang menerima insentif pertanian seperti baja, racun, ubat kawalan penyakit serta peralatan pertanian, melibatkan pemulihan seluas 2,126 hektar ladang koko,” katanya. –