Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif baharu bakal dilaksanakan tahun ini dalam usaha memperkasakan teknologi, pendidikan serta Bahasa Inggeris di negeri Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) Merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif mengucapkan syabas dan tahniah KSTI, agensi-agensi berkaitan serta jabatan-jabatan di bawah seliaan beliau atas kejayaan melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang sepanjang tahun 2024.

“Saya berharap kejayaan ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi pada tahun 2025. Majlis ini menjadi platform penting untuk menyatukan tenaga semua agensi agar mereka dapat bekerjasama dalam bidang masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Sempena Majlis Perhimpunan Amanat Tahun 2025 KSTI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Selasa (11 Feb).
Menurut beliau, kerjasama antara pelbagai agensi seperti KSTI, Jabatan Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan agensi lain di bawahnya amat penting kerana bidang sains, teknologi dan inovasi mempunyai kaitan rapat dengan usaha memperkasa pendidikan serta digitalisasi.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Arifin turut menyatakan hasrat menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan (AI) Negeri Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Pada peringkat awal, kita akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UMS. Saya yakin pusat ini akan menjadi landasan untuk memperkasa AI dengan memberi tumpuan kepada produk dan keunikan Sabah seperti alam semula jadi dan budaya,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata fokus utama kementerian tahun ini adalah memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris menerusi pendekatan acuan tempatan yang akan dirangka bersama tokoh-tokoh pendidikan.
“Usaha ini melibatkan pakar dari UMS, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Pendidikan Guru (IPG) serta Institut Pembangunan Sabah (IDS).
“Kami akan mendapatkan nasihat daripada pakar-pakar pendidikan untuk memastikan strategi yang dirangka bertepatan dengan keperluan negeri. Pada masa sama, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) juga akan terus diperkasakan,” jelasnya.
Dalam aspek kebajikan, Arifin berkata kementeriannya turut meminta JHEAINS dan agensi-agensi lain meneliti langkah meningkatkan kesejahteraan kakitangan.
Beliau juga menekankan kepentingan digitalisasi dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada rakyat.
“Kami akan terus fokus pada usaha memperbaiki ketersambungan serta digitalisasi yang melibatkan pelbagai sektor seperti perpustakaan dan media penerangan,” katanya.
Beliau turut menyentuh perbincangan bersama pakar-pakar akademik dan pihak industri bagi memperkasa pendidikan di peringkat sekolah rendah, menengah dan kebangsaan.
“Ini satu langkah penting untuk membangunkan negeri Sabah, dan saya yakin kita akan mencapai kejayaan yang lebih besar melalui kerjasama semua pihak,” katanya.

Dalam majlis itu, turut diadakan penyerahan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada seramai 30 penerima terdiri daripada pelajar universiti dan kolej di Sabah dan sijil penghargaan kepada pengamal media di Sabah.
Selain itu, pada majlis sama penyerahan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) fasa kedua bantuan berjumlah RM5,024,000.00 kepada 628 buah sekolah di Sabah. Bantuan ini khusus untuk pembelian peralatan ICT dan digital.
Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) juga turut disampaikan dengan peruntukan sebanyak RM3,000,000.00 diberikan kepada 1,500 PIBG di Sabah. Bantuan bertujuan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti PIBG.
Manakala penyerahan sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES), inisiatif baharu ini diperkenalkan pada tahun ini dengan jumlah bantuan RM4,500,000.00 disalurkan kepada 1,500 buah sekolah bagi aktiviti, program, dan kegiatan sekolah.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin.