Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan di salah satu daerah di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM11,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 30-an itu dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat berkenaan yang melakukan kesalahan jalan raya.
Suspek lelaki berusia 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 4.30 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut dari Januari 2023 hingga Oktober 2024.
“Suspek juga disyaki menerima suapan secara bulanan antara RM450 hingga RM550 melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” katanya.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Bagaimanapun, katanya, suspek dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin selepas ditahan selama 24 jam dan keterangannya diambil.