Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda, mengesahkan pihaknya telah mengemukakan empat nama calon wanita daripada parti itu untuk dipertimbangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Redonah, peluang bertanding adalah satu penghormatan besar dan akan digunakan sebaik mungkin sekiranya diberi kepercayaan.
“Jika diberi peluang, insya-Allah saya tidak akan sia-siakan amanah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Ramah Mesra Ketua Wanita Gagasan Rakyat Datuk Redonah Bersama Media di sini, hari ini.
Beliau turut menekankan komitmennya dalam memperjuangkan kuota 30 peratus penglibatan wanita, terutama dalam sektor politik dan pembuatan keputusan.
Katanya, usaha ini akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan wanita lebih aktif di semua peringkat, termasuk pembangunan ekonomi dan kesihatan.
“Sudah semestinya sebagai wanita saya juga melihat kepada keutamaan kepada wanita khasnya dari segi kesihatan dan juga pembangunan ekonomi yang mana wanita ini bermula daripada rumah sudah semestinya kebanyakan wanita ini adalah salah satu penyumbang ekonomi.
“Itu adalah salah satu daripada yang akan saya perjuangkan sebagai pemimpin wanita dan saya rasa semua wanita itu pun akan memperjuangkan perkara yang sama,” tegasnya.
Dalam soal calon wanita, beliau memaklumkan empat nama telah dikemukakan kepada Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun.
“Antara calon tersebut termasuk saya sendiri, manakala tiga lagi calon melibatkan muka baharu dan lama,” jelas Redonah yang tidak menafikan beliau antara empat calon wanita Gagasan Rakyat yang dikemukakan kepada pucuk pimpinan Ketua Wanita GRS.
Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara Parti Gagasan Rakyat Sabah, Pakatan Harapan (PH), dan UMNO seperti yang disarankan Perdana Menteri, Redonah menyerahkan keputusan kepada pucuk pimpinan tertinggi.
“Kami akan akur dengan keputusan parti, walaupun secara peribadi ada cabaran dan perasaan bercampur-baur mengenai isu ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Redonah turut memaklumkan jentera Wanita Gagasan Rakyat kini sudah bersiap sedia dengan persiapan mencecah 70 peratus menjelang PRN.
“Kita ada 24,000 jentera Wanita di seluruh Sabah dan kini dalam proses kemas kini bagi memastikan semuanya bersedia sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin pendekatan yang lebih berfokus kepada komuniti setempat dan keluarga akan memberi kekuatan kepada jentera wanita untuk menghadapi cabaran pilihan raya nanti.