PUTRAJAYA: Kerajaan Madani akan terus memperkukuh keselamatan dalam talian dan menyediakan ruang digital yang lebih selamat untuk seluruh rakyat Malaysia.
Dalam usaha ini, Kementerian Komunikasi telah memulakan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian, yang digerakkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menerusi kenyataannya hari ini, kempen tersebut dilaksanakan lebih 10,000 sekolah dan semua universiti awam seluruh negara, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat pelbagai lapisan usia serta latar belakang berkenaan pentingnya keselamatan Internet.
Kempen Keselamatan Dalam Talian akan diperluas dalam kalangan komuniti bagi memperkasakan pengetahuan orang ramai tentang keselamatan dalam talian.
Antara fokus utama kempen iaitu kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk memiliki akaun media sosial (penggunaan Internet perlu di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga).
Selian meningkatkan kesedaran agar dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian (scam), judi dalam talian, buli siber, dan kes jenayah pedofilia.
Disamping itu, kempen ini menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan beretika.
Sempena Sambutan Hari Keselamatan Internet hari ini, Kementerian Komunikasi juga ingin memaklumkan bahawa pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998[Akta 588] telah diwartakan pada 7 Februari 2025 dan berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Pindaan ini akan menyediakan ekosistem rangkaian Internet yang lebih selamat dan lestari kepada pengguna, sekali gus memberikan perlindungan lebih baik kepada pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga.
Jumlah kes jenayah dalam talian pada 2024 yang mencecah 35,368 kes dengan nilaikerugian lebih RM1.5 bilion membuktikan bahawa pindaan tersebut adalah tepat pada masanya.
Kerajaan berharap agar seluruh rakyat Malaysia dapat memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk melindungi diri serta keluarga daripada sebarang ancaman dalam talian.