Kota Kinabalu : Mangsa terjejas banjir yang masih berlindung di empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah menurun kepada 505 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 1,040 orang pada jam 4 petang tadi
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, hanya tinggal dua daerah sahaja yang masih terjejas banjir iaitu Beaufort dan Kinabatangan.

“Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon Beaufort telah ditutup pada jam 5 petang tadi, bagaimanapun sebahagian penduduk telah dipindahkan ke PPS Dewan DSP Dun Banir yang kini menempatkan seramai 125 orang melibatkan 40 keluarga.
“Sebuah lagi PPS di Beaufort yang dibuka adalah Dewan Bisaya yang menempatkan seramai 200 orang mangsa melibatkan 72 keluarga,” menurut kenyataan itu di sini malam ini.
Dua PPS di Kinabatangan yang masih dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau yang menempatkan seramai 108 mangsa dan SK Bukit Garam seramai 72 orang.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Membakut Ibrahim Terki dalam satu kenyataan berkata, PPS Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan SMK) Dewan Membakut yang dibuka pada Sabtu lalu ditutup sepenuhnya jam 3 petang tadi.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Membakut mengisytiharkan PPS Dewan SMK Membakut ditutup sepenuhnya jam 3 petang hari ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH