Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Pelancaran Projek Hab Tenaga Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion (USD2 bilion) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dijangka memainkan peranan penting dalam strategi tenaga dan industri Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek ini akan menjadikan Sabah sebagai hab utama dalam sektor tenaga di Asia Tenggara.
“SOGIP akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga, yang amat penting bagi kesinambungan pembangunan ekonomi Sabah. Paling utama, projek ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama, inovasi, dan pembangunan dalam sektor minyak, gas, dan tenaga, yang akan memberi manfaat kepada industri serta komuniti setempat,” katanya pada majlis pelancaran Projek Hab Tenaga Minyak dan Gas yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Hajiji berkata pembangunan SOGIP akan memberi penekanan yang kepada kelestarian alam sekitar.
“Ketika Malaysia bergerak ke arah pengurangan jejak karbon, integrasi sumber tenaga yang lebih bersih seperti gas asli cecair (LNG) memainkan peranan penting dalam strategi peralihan tenaga negara.
“Selain itu, sistem penyimpanan dan pengedaran tenaga di SOGIP sedang dibangunkan bagi menyokong matlamat tenaga boleh diperbaharui Malaysia dalam jangka panjang.
“Dengan memastikan bekalan berterusan gas asli dan bahan api karbon rendah lain, SOGIP boleh membantu mempercepatkan peralihan daripada kebergantungan bahan api fosil kepada tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin dalam campuran tenaga Malaysia,” katanya.
Projek ini merupakan kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC), yang menguruskan SOGIP, dan Gibson Shipbrokers Limited, sebuah syarikat khusus dalam bidang maritim, tenaga, serta industri berkaitan.
Projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa dan melibatkan pembinaan pelabuhan bertaraf dunia bagi menyokong aktiviti pengangkutan dan perdagangan tenaga, dengan 80 peratus tenaga kerja terdiri daripada rakyat tempatan.
Hajiji berkata, kejayaan pelaksanaan projek ini bukan sahaja akan meningkatkan ekonomi domestik Malaysia tetapi juga menyokong keselamatan tenaga serantau serta merancakkan perdagangan antarabangsa.
“Dengan sokongan kukuh daripada sektor swasta dan kerajaan, SOGIP dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi, dan pengembangan industri.
“Ketika Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tenaga global, SOGIP akan memainkan peranan strategik dalam memperkukuhkan daya tahan ekonomi, mencapai kebebasan tenaga, dan memacu pertumbuhan industri yang mampan,” katanya.
Hajiji juga yakin projek ini akan membuka banyak peluang pekerjaan, latihan kemahiran, serta pemerkasaan komuniti.
“Dalam hal ini, saya sentiasa menekankan kepentingan keutamaan pengambilan tenaga kerja tempatan dalam semua projek dan operasi di negeri ini. Saya mahu semua pemain industri mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama dalam komitmen kita terhadap pembangunan tempatan,” jelasnya.
Hajiji turut mengulangi bahawa keseriusan Kerajaan Negeri dalam perkara ini telah dibuktikan dengan penubuhan Sabah Local Content Council melalui SMJ Energy pada Mei tahun lalu, yang berfungsi sebagai platform kerjasama antara pemegang taruh industri untuk mengenal pasti peluang dalam meningkatkan pembangunan kapasiti kandungan tempatan dalam industri minyak dan gas.
“Melalui platform ini, Kerajaan Negeri akan mewajibkan semua pemegang taruh untuk melabur dalam latihan dan pembangunan rakyat Sabah melalui program jangka pendek dan sederhana yang akan dilaksanakan pada tahun 2025.
“Saya ingin menegaskan kembali komitmen Kerajaan Negeri terhadap kemajuan dan pembangunan industri minyak dan gas Sabah. Saya yakin bahawa melalui kerjasama dan sokongan berterusan, kita dapat memperkukuhkan lagi industri minyak dan gas di Sabah bagi memacu kemakmuran ekonomi yang lebih besar untuk negeri kita,” ujarnya.