HomePendapatProduktiviti Kelapa Sawit Malaysia Harus Berteras Teknologi

Produktiviti Kelapa Sawit Malaysia Harus Berteras Teknologi

Read Time:4 Minute, 59 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Pendahuluan
Kerajaan Malaysia telah menghadkan jumlah kawasan tanaman kelapa sawit kepada 6.5 juta hektar untuk memastikan industri ini mampan dan lestari. Dasar ini termasuk larangan penukaran kawasan rizab hutan kepada penanaman sawit serta kawal selia ketat terhadap tanaman di kawasan tanah gambut.

Keadaan Semasa dan Statistik

Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pada tahun 2023, jumlah keseluruhan kawasan kelapa sawit di Malaysia adalah 5,652,569 hektar: Semenanjung Malaysia (2,518,883 hektar: 44.6%), Sabah & Sarawak (3,133,685 hektar: 55.4%).

Jumlah ini telah menurun lebih 20,000 hektar dari 5,674,742 hektar pada tahun 2022: Semenanjung Malaysia (2,544,307 hektar) dan Sabah & Sarawak (3,130,435 hektar).

Daripada jumlah 5,652,569 hektar tersebut, sebanyak 822,073 hektar (14.5%) adalah milik pekebun kecil kelapa sawit persendirian/ independent smallholders. Ini merangkumi pekebun kecil yang mengusahakan kebun kelapa sawit secara persendirian dan bebas, tanpa terikat dengan mana-mana organisasi.

Secara purata, setiap pekebun kecil kelapa sawit mengusahakan 3.9 hektar.

Fakta menarik. Menurut definisi Kerajaan Malaysia, pekebun kecil kelapa sawit mengusahakan kebun kelapa sawit dengan keluasan di bawah 100 ekar atau 40.46 hektar.

Produktiviti dan Cabaran

Memandangkan jumlah keluasan kelapa sawit telah di hadkan, pertumbuhan industri kelapa sawit menjadi terbatas. Maka, pertumbuhan hanya boleh tercapai dengan meningkatkan produktiviti serta nilai-tambah dari keluasan sediada, antaranya meningkatkan hasil Buah Tandan Segar (BTS)/ Fresh Fruit Bunches (FFB).

Secara am-nya, penanaman kelapa sawit yang produktif berpotensi menjana hasil BTS sebanyak 26.6 tan/ hektar setahun. Hasil BTS ini boleh tercapai berdasarkan Amalan Pertanian Baik/ Good Agriculture Practices (GAP), beserta kawalan berkesan penyakit dan makhluk perosak dan cuaca yang baik. Ibarat best-case scenario.

Namun begitu, menurut laporan MPOB, pada tahun 2024, purata hasil BTS negara adalah 16.70 tan/ hektar, meningkatkan dari 15.79 tan/ hektar (2023). Perak (21.01 tan/ hektar) telah merekodkan hasil BTS tertinggi, manakala Kelantan (12.33 tan/ hektar) terendah.

Sabah pula satu-satunya negeri atau wilayah yang telah merekodkan penurunan hasil BTS, dari 16.39 tan/ hektar (2023) kepada 15.74 tan/ hektar (2024).

Ini bermakna hasil BTS negara (16.70 tan/ hektar) hanya mencapai 63% dari potensi hasil BTS (26.6 tan/ hektar). Jurang ini menyebabkan kehilangan pendapatan/ revenue loss yang sangat besar, di anggarkan bernilai berbilion Ringgit setiap tahun. 

Laporan hasil BTS berkenaan hanya merangkumi ladang kelapa sawit yang di usahakan oleh syarikat milik agensi kerajaan dan persendirian, dengan keluasan ladang melebihi 100 ekar (40.46 hektar). Pencapaian hasil pekebun kecil persendirian tidak termasuk di dalam laporan berkenaan.

Ada syarikat-syarikat perladangan besar terkemuka di laporkan memperolehi hasil BTS yang tinggi sehingga 28 tan/ hektar, melebihi hasil BTS negara, antaranya: United Plantation (28 tan/ hektar), IOI Corporation (19.34 tan/ hektar), Genting Plantation (17.6 tan/ hektar).

Sebaliknya, ada syarikat yang memperolehi hasil BTS yang lebih rendah, antaranya: FELDA (16.49 tan/ hektar), FGV (13.6 tan/ hektar).

Malangnya, pekebun kecil di laporkan memperolehi hasil BTS yang jauh lebih rendah. Menurut laporan media The Edge, Survei MPOB menunjukkan pekebun kecil memperolehi hasil BTS sebanyak 10.6 tan/ hektar sahaja, iaitu hanya mencapai 40% dari potensi hasil BTS (26.6 tan/ hektar). Oleh kerana itu, ramai pekebun kecil kelapa sawit masih memperolehi pendapatan yang rendah.

Antara punca pekebun kecil memperolehi hasil BTS yang rendah adalah:

  • Kurang pematuhan Good Agriculture Practices (GAP)
  • Usia pokok yang tua tanpa penanaman semula
  • Kekurangan pekerja
  • Kurang data kebun yang menyeluruh

Tanpa data kebun yang tepat dan menyeluruh, sukar bagi pekebun kecil kelapa sawit menguruskan kebun secara produktif, dan seterusnya meningkatkan hasil BTS. Justeru itu, langkah pertama ialah mengumpul data dan membina profil kebun kelapa sawit bagi memahami situasi semasa yang di hadapi oleh pekebun kecil. Apabila adanya profil dan garis asas/ baseline semasa tersebut, pelan peningkatan produktiviti dapat di rangka, di laksana dan di pantau.        

Peranan Teknologi

Dengan mengguna-pakai teknologi terkini seperti dron, Artificial Intelligence (AI) dan Internet of Things (IOT), profil kebun kelapa sawit yang tepat dan menyeluruh dapat di bina dengan pantas. Profil ini merangkumi beberapa perkara asas utama yang memudahkan pekebun kecil membuat keputusan operasi secara tepat dan pantas.

Penggunaan teknologi seperti dron, Artificial Intelligence (AI), dan Internet of Things (IoT) dapat membantu pekebun kecil meningkatkan produktiviti. Profil kebun yang lengkap membolehkan mereka:

  • Mengurus jumlah pokok secara lebih tepat
  • Memantau kesihatan pokok
  • Menganalisis keadaan tanah dan cuaca

Teknologi dron semburan juga terbukti meningkatkan produktiviti kerja tiga kali ganda dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja sebanyak 50%. Sebagai contoh, satu pasukan dron boleh menyelesaikan semburan racun dalam 12 hektar sehari berbanding hanya 4 hektar dengan cara tradisional.

Di samping itu, teknologi dron semburan telah membantu syarikat-syarikat tersebut mengurangkan kerugian pendapatan dengan menangani isu makhluk perosak secara pantas dan efektif. Tambahan lagi, ianya juga membolehkan syarikat-syarikat tersebut menguruskan pekerja sediada secara lebih produktif, dengan melaksanakan kerja-kerja ladang yang lebih penting dan memerlukan seperti menuai/ harvesting.

Namun begitu, rata-rata pekebun kecil masih tidak mengguna-pakai teknologi terkini bagi operasi kebun kelapa sawit. Tanpa teknologi, produktiviti hasil BTS pekebun kecil sudah pasti akan kekal rendah. Jurang hasil BTS pekebun kecil berbanding dengan syarikat-syarikat perladangan juga boleh melebar. Akhirnya, negara rugi kerana industri kelapa sawit tidak berkembang, dan hilang kelebihan daya saing/ competitive edge di peringkat global.          

Maka, pekebun kecil kelapa sawit wajar di gesa dan di bantu untuk mengguna-pakai teknologi terkini, seiring dengan syarikat-syarikat perladangan. Bantuan ini boleh merangkumi: pendidikan dan pendedahan mengenai teknologi terkini, dana kewangan bagi menyemai penggunaan teknologi, insentif kewangan dan bukan kewangan sebagai ganjaran mengguna-pakai teknologi.   

Langkah ke Hadapan
Banyak syarikat besar telah menggunakan teknologi ini dan berjaya menjimatkan kos serta meningkatkan hasil. Namun, pekebun kecil masih ketinggalan. Oleh itu, usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan penggunaan teknologi melalui:

  • Pendidikan dan pendedahan tentang teknologi pertanian
  • Dana kewangan untuk menyokong penggunaannya
  • Insentif kewangan dan bukan kewangan sebagai galakan

Produktiviti berteras teknologi adalah kunci kepada industri kelapa sawit yang mampan dan lestari, selari dengan agenda transformasi pertanian negara melalui Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

RELATED ARTICLES
Utama

Enam Individu Dipenjara 3 Tahun Bantu Kumpulan Jenayah Terancang “Geng Upik”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular