KOTA KINABALU, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) kemungkinan besar akan bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Memetik laporan Portal Malaymail, Ketua Umno Bahagian Tuaran itu berkata bahawa belum ada perbincangan rasmi mengenai sama ada BN akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sedang memerintah atau bertanding secara solo.
“Tidak ada perbincangan mengenai siapa yang akan menyertai kami, dan kami juga tidak membincangkan jumlah kerusi yang diminta oleh UMNO dan sebagainya. Tiada perbincangan seperti itu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, rundingan antara parti dengan kepimpinan pusat masih berjalan dan situasi politik negeri ini sentiasa berubah setiap hari dengan perkembangan baharu.
Namun beliau turut mengakui perlunya parti membuat keputusan segera dan yakin bahawa ahli-ahli parti akan akur dengan keputusan kepimpinan.
Sebelum itu, beberapa laporan media mendakwa bahawa BN Sabah berkemungkinan bertanding secara solo dan mensasarkan 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN tahun ini. Laporan itu juga menyebut bahawa BN Sabah menyasarkan untuk memenangi 27 kerusi bagi mendapatkan pengaruh lebih besar dan menuntut jawatan Ketua Menteri.
Bagaimanapun, Abdul Rahman menafikan laporan tersebut dan menegaskan bahawa realiti semasa menunjukkan perlunya gabungan untuk mencapai kemenangan dalam PRN.
“Namun, terdapat dinamik tertentu yang perlu diteliti. Tetapi akhirnya, saya bersetuju bahawa keputusan perlu dibuat dalam masa terdekat kerana masa sangat penting. Semakin lama kita menunggu, semakin gelisah akar umbi. Jadi, saya berpendapat keputusan harus dibuat secepat mungkin,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa isu ini akan dibincangkan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semasa lawatannya ke Sabah pada 23 Februari nanti sempena sambutan ulang tahun ke-34 UMNO Sabah yang akan diadakan di Tawau katanya.