Oleh FLORIETA DIET
PENAMPANG: Sekolah Menengah Saint Michael, Penampang mencipta sejarah di Bangkok, Thailand, apabila 12 pasukan sekolah itu meraih kemenangan besar dengan membawa pulang dua pingat emas, enam pingat perak, dan empat pingat gangsa di Pameran Antarabangsa Harta Intelek, Penemuan, Inovasi, dan Teknologi Bangkok (IPITEx 2025).
Pameran yang berlangsung selama lima hari bermula 2 Februari 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok (BITEC) itu menyaksikan sebanyak 12 pasukan melibatkan 27 pelajar yang diiringi oleh Pengetua Sekolah, Jennifer Asing serta dua guru pembimbing, Mariatul Hanis dan Cyprian Rian Jokinol.
Jennifer melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian pelajar sekolahnya dan menyifatkan pengalaman itu sebagai pendedahan berharga kepada mereka.
“Pengalaman ini memberikan pendedahan yang sangat berharga kepada pelajar kami apabila mereka membentangkan projek inovatif mereka kepada penonton global. Ia membantu meningkatkan kemahiran pembentangan, pemikiran kritikal dan komunikasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan B Reborn dan SNIGS membawa pulang pingat emas melalui inovasi BVR (Penyelesaian VR untuk pendidikan yang menggabungkan perkakasan dan perisian) dan PROBOS (Vest boleh laras dengan pemijat untuk membetulkan postur badan).
Enam pasukan yang meraih pingat perak adalah Sadge, MIXSPINS, SplashBros, RAD, Oceanist, dan AIRGHEN dengan ciptaan seperti Binbuster, Healthlink, Newdreams, HydroHarvester, Mudflush, dan Chilltropolis.
Empat pasukan lain iaitu Lovely, ACES, DeVanci, dan DVA pula berjaya memenangi pingat gangsa dengan inovasi Rhys-Step, HydraAlert, Lalatz, dan Bio-Peel.
Lebih membanggakan, pasukan RAD turut menerima Anugerah Khas berprestij daripada Singapura atas inovasi mereka.