KOTA KINABALU: Aduan mengenai jalan rosak teruk dan berlubang di laluan Kota Marudu-Kota Belud-Tuaran yang tular di media sosial mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari, berkata beliau telah memaklumkan isu itu kepada pihak berwajib dan menerima maklumat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Belud.
Menurut Arsad, Jurutera Daerah (DE) JKR Kota Belud memaklumkan menerusi pesanan ringkas di aplikasi WhatsApp bahawa pihak konsesi sudah mengambil tindakan susulan bagi menangani masalah terbabit.
“Menurut DE JKR Kota Belud, mereka sudah mengambil maklum dan pihak konsesi sedang melaksanakan tindakan lanjut. Mereka juga mengakui kerja pembaikan sedikit lambat disebabkan masalah kekurangan pasukan serta faktor cuaca,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Beliau berharap kerja pembaikan dapat diselesaikan secepat mungkin bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.