Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang pegawai penguat kuasa berhubung kes rasuah melibatkan kira-kira RM100, 000.
Tangkapan terhadap pegawai penguat kuasa ini adalah susulan tangkapan terhadap pembantu penguat kuasa oleh SPRM Sabah pada Selasa lalu.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ini ditahan kira-kira jam 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada syarikat-syarikat pengangkutan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori yang melakukan kesalahan jalan raya di sebuah daerah di negeri ini.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta wang rasuah daripada kira-kira 30 syarikat pengangkutan sejak Oktober 2023 hingga November 2024 dan menerima wang antara RM300 hingga RM3,000 secara bulanan yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM100,000.
“Wang itu sebagai dorongan untuk tindakan mengambil tindakan terhadap lori-lori milik syarikat berkenaan yang melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy yang mengesahkan tangkapan itu berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 1(a) Akta SPRM 2009.
Menurutnya, suspek dibebaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.