HomePendapatKepentingan rakyat perlu diberi keutamaan meskipun KDNK meningkat

Kepentingan rakyat perlu diberi keutamaan meskipun KDNK meningkat

Read Time:2 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terus memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat meskipun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dilihat meningkat pada 2024.

Pensyarah Kanan Ekonomi Kewangan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr Caroline Geetha berkata, keutamaan kepada rakyat itu perlu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terus inklusif.

Katanya, meskipun KDNK dilihat meningkat tahun lalu namun  tidak semestinya kesejahteraan semua lapisan masyarakat meningkat secara automatik.

“Kerajaan mesti menggunakan dasar fiskal yang lebih fokus untuk memastikan taraf hidup rakyat meningkat pada masa yang sama inflasi terkawal. Kerajaan juga perlu memastikan dana disalurkan kepada sektor-sektor ekonomi yang tepat.

“Sektor pertanian yang menjadi sektor penting yang menjamin keselamatan makanan di mana kita masih mengimport barang makan yang asas dari luar negara juga perlu diberi fokus dan perhatian.

“Selain itu, pembangunan infrastruktur untuk meningkatkan ekses ekonomi untuk masyarakat luar bandar selain menggalakkan perkembangan industri hiliran bagi meningkatkan peluang pekerjaan harus diberi keutamaan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, peningkatan perkembangan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut dilihat menjadi Kerajaan bagi memastikan rakyat dapat menyesuaikan diri dengan perubatan  ekonomi dan teknologi.

Sementara itu, Dr Caroline berkata, meskipun pertumbuhan KDNK yang tinggi namun ia tidak semestinya diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat secara langsung.

Katanya, terdapat beberapa faktor yang boleh menjelaskan keadaan itu termasuklah keberkesanan mekanisme pelaksanaan; Kesan Pengganda (Multiplier Effect) Memerlukan Masa dan Kejutan Ekonomi Luaran yang Berterusan

“Jika dasar ekonomi atau bantuan kerajaan tidak disesuaikan dengan keperluan khusus di peringkat negeri atau kawasan luar bandar, keberkesanannya akan berkurang. Setiap negeri mempunyai keperluan dan cabaran yang berbeza, jadi penyelarasan dan pengagihan yang lebih baik diperlukan.

“Walaupun perbelanjaan kerajaan meningkat, kesannya terhadap ekonomi dan rakyat tidak serta-merta dirasai. Sebagai contoh, pelaburan dalam infrastruktur mengambil masa untuk disiapkan sebelum dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas.

Faktor seperti ketidaktentuan ekonomi global, inflasi, krisis geopolitik, dan perubahan dasar perdagangan antarabangsa memberi tekanan besar kepada ekonomi Malaysia. Dalam keadaan ini, kerajaan bukan sahaja perlu melaksanakan dasar untuk pertumbuhan tetapi juga menangani kejutan luaran bagi memastikan daya tahan ekonomi negara,” katanya.

Oleh itu katanya, meskipun data KDNK menunjukkan peningkatan, realiti di peringkat rakyat mungkin berbeza kerana kesan dasar mengambil masa untuk menembusi ekonomi sebenar, di samping cabaran luaran yang berterusan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pandangan rakyat terhadap Kerajaan Madani, Dr Caroline berkata, reaksi rakyat terhadap prestasi kerajaan Madani adalah bercampur-campur.

“Sesetengah rakyat menghargai usaha kerajaan dalam memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka menghadapi cabaran ekonomi seperti subsidi bersasar, insentif bantuan tunai, dan pelaksanaan dasar kewangan yang lebih bertanggungjawab.

“Namun, masih terdapat kebimbangan mengenai isu kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barangan asas, dan kadar pengangguran dalam kalangan belia.

“Faktor utama yang menentukan kepuasan rakyat termasuk keberkesanan dasar Ekonomi, kestabilan politik, ketulusan kerajaan dalam pentadbiran, peluang pekerjaan, kenaikan gaji dan kos sara hidup.” Katanya.

Menurutnya, bukan sahaja menangani keadaan kejutan luar yang tidak dapat dikawal tetapi pada masa yang sama menangani kebimbingan rakyat terhadap kelesterian ekonomi negara turut menjadi cabaran Kerajaan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Harapan dan Cabaran Dasar Wanita Negara 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular