Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menyusun pelbagai program dan aktiviti bagi menyemarakkan bulan Ramadan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah penganjuran Istiqbal Nuzul Al-Quran sempena Nuzul Al-Quran yang datang setiap Ramadan.
“Istiqbal Nuzul Al-Quran ialah majlis sempena Nuzul Al-Quran yang setiap tahun dianjurkan oleh JHEAINS dan MUIS bersama dengan semua agensi negeri dan persekutuan untuk menyemarakkan Nuzul Al-Quran yang hadir setiap Ramadan.
“Program ini kita susun bermula dengan program konvensyen Al-Quran, kemudian kita adakan juga beberapa program khatam Al-Quran, tadarus Al-Quran di Masjid Negeri selain kita adakan berbuka puasa, pengagihan bubur lambuk, pengagihan bantuan-bantuan kepada asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Kebakaran MUIS dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada wakil penduduk kebakaran di Tawau di sini hari ini.
Bantuan itu diterima dan diwakili Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas.
Arifin berkata, majlis Istiqbal Nuzul Al-Quran itu dijangka akan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan pegawai Kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata, program pengisian Ramadan juga akan turut dilaksanakan di seluruh negeri Sabah.
“Di Wisma MUIS juga kita buka program atau aktiviti sepanjang Ramadan ini termasuklah bazar dan termasuklah beberapa program tazkirah, penyertaan anak-anak dan sebagainya,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan yang di sampaikan, Arifin berkata, bantuan itu akan diagihkan sendiri bersama dengan pimpinan di kawasan berkenaan yang diwakili ADUN Apas.
“Bantuan ini adalah bagi membantu sedikit sebanyak mengurangkan bebanan mangsa kebakaran yang sangat kita prihatin dengan nasib mereka.
“Seramai 86 keluarga terlibat, ertinya kalau dikira adalah lebih 300 yang terlibat ahli-ahli keluarga mereka. MUIS menyediakan RM1,000 setiap satu keluarga,” katanya.
Pada majlis itu, MUIS telah menyalurkan sumbangan bantuan sebanyak RM86,000 dan PBNS sebanyak RM17,000. – SABAH MEDIA