Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah akan bekerjasama dengan semua pemegang taruh untuk memerangi perubahan iklim dan cabarannya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri sedang mengambil langkah ke arah ini, termasuk program agroperhutanan, insentif pertanian organik, dan projek pemuliharaan berasaskan komuniti.
Katanya, ia bertujuan untuk membina ketahanan dalam kalangan penduduk tempatan.
“Namun, usaha ini memerlukan sokongan berterusan bukan sahaja dari dalam Malaysia tetapi juga daripada rakan kongsi antarabangsa yang komited untuk memupuk pembangunan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Kinabalu 2025: Keselamatan Makanan, Perubahan Iklim dan Pelaburan di Magellan Sutera Resort di sini semalam.
Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata, menangani ketidakselamatan makanan dan perubahan iklim memerlukan lebih daripada niat baik kerana ia memerlukan sumber kewangan yang besar dan perkongsian strategik.
“Sektor swasta dipanggil untuk terlibat dan melengkapkan usaha kerajaan. Kami menjemput perniagaan, pelabur dan semua organisasi yang mempunyai matlamat yang sama untuk meneroka pelaburan hijau bagi menangani isu-isu ini,” katanya.
Katanya, berdasarkan anggaran terkini oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Laporan PBB 2023), secara global, hampir 733 juta orang menghadapi kelaparan setiap hari, sementara kenaikan harga makanan, gangguan rantaian bekalan, dan kejadian cuaca ekstrem hanya memburukkan lagi krisis ini.
“Bagi Malaysia, dan khususnya Sabah, kebergantungan kita terhadap import bahan asas seperti beras dan gandum membuatkan kita terdedah kepada kejutan luaran, menjadikan keselamatan makanan sebagai kebimbangan yang mendesak,” katanya.
Dalam pada Hajiji berkata, menangani keselamatan makanan bermula dengan menghadapi punca utamanya, iaitu perubahan iklim.
Katanya, kenaikan suhu, musim monsun yang tidak menentu, dan ribut yang semakin kuat di negeri ini telah memusnahkan tanaman, merosakkan mata pencarian, dan menyebabkan keluarga kehilangan tempat tinggal.
Beliau menambah, kawasan pantai semakin terdedah kepada kemasukan air masin ke dalam sumber air tawar, yang seterusnya membahayakan bekalan pertanian dan air minuman.
Tambahnya lagi, cabaran ini semakin buruk dengan penebangan hutan, yang mengikis ekosistem penting untuk penyerapan karbon dan kepelbagaian biologi.
“Walaupun trend ini membimbangkan, ia tidak boleh dipulihkan. Memerangi perubahan iklim bukan sahaja keperluan alam sekitar tetapi juga kewajipan moral kepada generasi akan datang.
“Dengan melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, mempromosikan penanaman semula hutan, dan mengamalkan pertanian pintar iklim, kita dapat mengurangkan kesan terburuk pemanasan global dan memastikan ketersediaan makanan jangka panjang,” katanya.
Hajiji berkata, konvensyen ini menawarkan platform yang sesuai untuk membincangkan, berkongsi pengetahuan dan berkomitmen kepada tindakan konkrit termasuk mengukuhkan kerjasama serantau, mempromosikan pertanian mampan dan memperkasakan komuniti tempatan. – SABAH MEDIA