Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Dua warga Pakistan dijatuhi hukuman denda selepas mengaku bersalah atas kesalahan imigresen di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin (24 Feb).
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain.
Dalam kes pertama, Wajid Khan @ Khan Wajid @ Khan Majid didenda RM10,000 atau penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut kerana tinggal lebih masa di Sabah selama lebih sebulan.
Wajid ditahan pada 11 Februari sekitar jam 1.20 petang di Sarhad Trading, Pekan Goshen, Kota Marudu, setelah Pas Lawatan Sosial miliknya didapati hanya sah sehingga 21 Disember 2024.
Wajid, yang merupakan anak saudara kepada pemilik kedai berkenaan, telah melunaskan bayaran denda dan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Zada Muhamad didenda RM3,500 atas dua pertuduhan bersabit kesalahan imigresen.
Bagi pertuduhan pertama, Zada Muhamad didenda RM3,000 atau penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan masuk ke Sabah tanpa pas yang sah.
Bagi pertuduhan kedua, Zada didenda RM500 atau penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda kerana melanggar syarat Pas Lawatan (Kerja Sementara) yang hanya membenarkannya berada di Semenanjung Malaysia sahaja.
Zada ditahan pada 12 Februari di rumah tidak bernombor, Jalan Berungis, Tuaran. Tertuduh telah melunaskan denda dan diarahkan untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen.
Dalam mahkamah yang sama, 27 warga Indonesia dan Filipina dijatuhi hukuman penjara atas pelbagai kesalahan imigresen.
Jalil Julasri dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan dan satu sebatan kerana masuk ke Sabah tanpa pas yang sah serta masuk semula ke Sabah tanpa pas yang sah setelah diusir keluar sebelum ini.
Jalil ditahan pada 10 Februari di sekitar daerah Kuala Penyu.
Seorang wanita warga Indonesia, Nita Ensa @ Ensa Nita, dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan kerana tinggal lebih masa di Sabah selama lebih sebulan.
Tertuduh telah ditahan pada 13 Februari di sekitar Pekan Inanam, setelah pihak berkuasa mendapati Pas Khas yang dikeluarkan kepadanya hanya sah sehingga 21 Disember 2024.
Sementara itu, seramai 25 warga asing lagi masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan kerana masuk ke Sabah tanpa pas yang sah.
Mereka ditahan antara 10 hingga 15 Februari di sekitar daerah Tambunan, Putatan, Manggatal, Inanam, Tenom, Sipitang, dan Kuala Penyu.
Mahkamah mengarahkan kesemua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tujuan pengusiran.
Pegawai pendakwa, Aizah Minin, mengendalikan pendakwaan, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.