Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Kadar zakat fitrah bagi umat Islam yang bermastautin di Sabah diisytiharkan kekal pada kadar RM7.50 seorang dan wajib ditunaikan pada Ramadan tahun ini.
Pengisytiharan kadar zakat fitrah itu diumumkan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin pada majlis Pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah 2025M / 1446H, di sini, hari ini.
Yahya berkata, kadar ini adalah berasaskan sukatan satu gantang baghdad atau bersamaan dua point tujuh (2.7) kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk negeri Sabah.
Hadir sama pada majlis pengisytiharan itu Mufti Kerajaan Negeri Sabah Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Jumain Abdul Ghani.
Tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk menetapkan tarikh permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia tahun ini adalah pada petang Jumaat ini bersamaan dengan 29 Syaaban 1446 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Umat Islam dijangka menunaikan ibadah puasa sempena Ramadan tahun ini bermula Sabtu atau Ahad ini. – SABAH MEDIA