HomeUtamaPenanaman pokok bakau perkukuh ekosistem pesisir pantai

Penanaman pokok bakau perkukuh ekosistem pesisir pantai

Read Time:1 Minute, 56 Second

Kita Kinabalu : Penanaman 2,500 pokok bakau di sepanjang Lagun Likas di sini merupakan satu inisiatif penting yang melambangkan komitmen kolektif masyarakat dalam memastikan kelestarian alam sekitar di bandaraya Kota Kinabalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, program itu juga dapat memperkukuhkan lagi ekosistem pesisir pantai yang memainkan peranan kritikal dalam perlindungan semula jadi terhadap perubahan iklim dan hakisan pantai.

Katanya, kerjasama semua pihak menunjukkan bahawa kelestarian alam sekitar merupakan satu tanggungjawab bersama yang perlu dipikul secara kolektif.

“Hutan bakau merupakan salah satu ekosistem paling penting dalam persekitaran kita, khususnya di kawasan pesisir pantai seperti Kota Kinabalu. 

“Ia bukan sahaja berfungsi sebagai benteng semula jadi yang melindungi kawasan pantai daripada hakisan, malah turut menjadi habitat penting bagi pelbagai spesies hidupan laut dan burung migrasi.

“Selain itu, hutan bakau juga memainkan peranan besar dalam menyerap karbon dioksida daripada atmosfera, menjadikannya salah satu penyelesaian terbaik dalam menangani isu pemanasan global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program penanaman 2,500 pokok bakau di sepanjang Lagun Likas di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Sr Lifred Wong.

Sabin berkata, pemuliharaan hutan bakau turut memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya dalam sektor perikanan dan ekopelancongan, yang semakin mendapat perhatian sebagai sumber pendapatan lestari bagi masyarakat.

Katanya, pelaksanaan program itu juga bertujuan untuk memulihara dan mengembalikan spesies bakau di dalam kawasan bandaraya, yang bukan sahaja menjadi elemen keunikan Kota Kinabalu, tetapi juga memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem.

Menurutnya, pokok bakau berfungsi sebagai penahan hakisan tanah selain habitat penting bagi hidupan marin serta agen penyerap karbon yang berkesan.

“Di samping itu, program ini juga berperanan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan hutan paya bakau serta mewujudkan persekitaran yang lebih lestari dan indah. 

“Dengan adanya inisiatif ini, kita turut menyokong Sustainable Development Goals (SDG) ke arah pembangunan bandar yang mampan (Sustainable Cities and Communities),” katanya.

Menurutnya, pokok bakau yang ditanam dalam program itu adalah spesies Bakau Kurap (Rhizophora mucronata) yang merupakan kali pertama lokasi berkenaan dipilih untuk projek penanaman pokok bakau secara meluas.

“Sasaran kita adalah untuk menanam sebanyak 100 pokok bakau pada pagi ini di kawasan Taman Awam Cycleway Phase 3, sementara 2,400 pokok bakau yang lain telah diagihkan lebih awal dan telah ditanam secara serentak oleh pelbagai agensi yang terlibat,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dipelawa hadir meriahkan Pesta Kaamatan Penampang Ahad ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular