HomeUtamaMUIS perkenal sistem 'QR Pay' bayar zakat fitrah

MUIS perkenal sistem ‘QR Pay’ bayar zakat fitrah

Read Time:1 Minute, 14 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memperkenalkan penggunaan sistem QR Pay Bank Islam Malaysia bagi pembayaran zakat fitrah bermula tahun ini.

Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin berkata, kaedah itu adalah bagi memudahkan pembayar zakat tanpa perlu membawa wang tunai.

“Ya, dahulu (pembayar zakat) menggunakan tunai.  Sekarang ini kita menggunakan QR dari Bank Islam. 

“Jadi dengan ini ia akan lebih mudah lagi, tidak tercicir ataupun hilang wang tunai yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengisytiharkan kadar zakat fitrah bagi negeri Sabah 2025 di sini hari ini.

Yahya berkata, penggunaan kaedah itu juga adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mendigitalisasikan agensi Kerajaan terutama di negeri ini.

Terdahulu, dalam ucapan pengisytiharan, Yahya berkata, pungutan zakat harta pada tahun lalu adalah sebanyak RM122,358,037.15.

“Manakala pungutan zakat fitrah pula adalah sebanyak RM12,095,323.50. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pungutan zakat harta dan zakat fitrah pada tahun lalu adalah sebanyak RM135,453,360.65.

“Jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun lalu adalah seramai 1,612,556 orang iaitu meningkat seramai 5,369 orang pembayar atau 0.33 peratus berbanding tahun 2023 Masihi bersamaan 1444 Hijrah berjumlah 1,607,187 orang,” katanya.

Dalam pada itu, Yahya berkata, bahagian zakat dan fitrah, MUIS telah berjaya membuat agihan kepada asnaf sebanyak RM147,206,600.38 untuk 114,044 orang asnaf.

“Manakala lebihan yang tidak sempat diagih pada hujung tahun lalu telah mula diagih pada awal tahun ini,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pemilik premis diseru kemuka permohonan sahkan arah kiblat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular