Kota Kinabalu : Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) akan terus memastikan sektor perikanan terus menjadi salah satu penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negeri sejajar dengan pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pengerusi Ko-Nelayan Kong Soon Choi berkata, pada masa sama, Ko-Nelayan turut menjaga kebajikan kumpulan sasar.
Katanya, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 18 inisiatif SMJ telah dilaksanakan dengan pencapaian sebanyak 97 peratus kewangan melibatkan 1,123 manfaat dan 283 nelayan pesisir pantai di seluruh Sabah.
“Di bawah program peningkatan pendapatan, Inisiatif i-Nelayan, i-Akuakultur, i-Hiliran dan i- Usahawan telah dapat meningkatkan pendapatan peserta melebihi 30 peratus melibatkan seramai 110 orang kumpulan sasar pada tahun 2024.
“Di bawah program pembangunan akuakultur, projek pengeluaran benih Scents dan projek ternakan ikan dalam sangkar berterusan meningkatkan pengeluaran benih ikan kerapu hibrid dan ternakan kerapu hibrid dengan pengeluaran masing-masing lebih 63,000 benih ikan kerapu hibrid dan lebih enam metrik ikan ikan kerapu.
“Projek elektronik komuniti usahawan nelayan membangunkan platform e-Dagang iaitu e-Kan melibatkan 81 kedai maya dan 1,170 produk dengan jumlah jualan RM5 juta setakat 18 Februari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ko-Nelayan di sini baru-baru ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.
Soon Choi berkata, seramai 121 nelayan pesisir pantai telah mendapat manfaat latihan dari program nelayan digital e-Smart yang akan menggunakan aplikasi satelit untuk mengenalpasti potensi lokasi menangkap ikan.
Katanya, Ko- Nelayan turut mengorak langkah meneroka potensi pengeluaran ikan hiasan khususnya ikan Malaysian Gold Arowana melalui projek ikan hiasan Ko-Nelayan di Kampung Kaiduan Papar.
“Pusat ini telah mendapat sijil Cites dari Geneva, Switzerland dan telah memilih jenama Arowana Kinabalu yang telah dilancarkan oleh Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah Semasa HPPNS 2024,” katanya. – SABAH MEDIA