HomeUtamaKeluarga sempat selamatkan diri, rumah hampir dihempap pokok besar

Keluarga sempat selamatkan diri, rumah hampir dihempap pokok besar

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh FLORIETA DIET

SANDAKAN: Sebuah keluarga berdepan detik cemas apabila melihat pokok besar tumbang ke arah rumah mereka di Jalan Pecky dekat sini pada petang Selasa.

Ebnar Randu, 40, menceritakan detik cemas itu berlaku ketika dia, isteri dan anaknya berada di dalam rumah.

“Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan angin kuat lebih kurang jam 2 petang, saya ketika itu bersama isteri dan anak berada dalam rumah. Saya terdengar bunyi kuat seperti kayu patah di belakang rumah. Kemudian saya pergi tengok dari mana bunyi itu, lalu saya ternampak pokok besar macam seakan mahu tumbang ke arah rumah kami.

“Saya memanggil keluarga saya dan sempat bawa mereka keluar dengan cepat, selepas sahaja kami keluar dari rumah, pokok itu sudah tumbang,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurutnya beberapa pokok di belakang rumah seperti pokok sukun, pokok kelapa telah memperlahankan pokok belunu itu yang batangnya bersaiz lebih besar daripada tong drum minyak dari terus terhempas di belakang rumah mereka.

“Kalau tiada pokok-pokok lain di belakang rumah, mungkin keadaan kerosakan rumah mungkin lebih teruk,” katanya memberitahu rumah tidak mengalami kerosakan teruk berbanding rumah jirannya yang rosak di bahagian dapur.

Sementara jirannya Anjeles Aling, 52, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian berlaku dia dan ahli keluarga yang lain keluar bekerja dan anak-anak masih berada di sekolah.

Menurutnya lagi, pokok itu anggaran setinggi 30 meter itu tumbang lalu terkena dua pokok sukun di belakang rumah sebelum pokok-pokok itu terhempas di belakang rumah dan dapur rumahnya.

“Kini saya berhadapan dengan masalah mencari tukang kayu untuk membaiki dapur rumah saya, setakat ini masih belum ada yang bersetuju kerana tidak lama lagi bulan puasa.

“Keadaan lebih teruk lagi apabila hujan, semalam dan pagi ni hujan menyebabkan dapur dimasuki air kerana bahagian atap dapur rosak teruk,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah bertungkus lumus membersihkan kawasan yang terkesan sehingga jam 6 petang Selasa.

“Semalam hanya 30 peratus pokok tumbang itu berjaya dibersihkan, saya diberitahu oleh anggota APM mereka akan menyambung kerja-kerja pembersihan hari ini,” katanya.

Manakala jurucakap, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Sandakan menerima panggilan dari orang awam pada jam 2.23 petang untuk khidmat bantuan mengenai kes pokok tumbang namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Hasil pemantauan petugas terdapat dua buah rumah mengalami kerosakan di bahagian dapur dan atap rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput meriahkan Regatta Lepa Semporna 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular