Oleh NORMIMIE DIUN
PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, menyerahkan kunci rumah kepada penerima Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS) dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Khamis. (27 Feb)
Sebanyak dua rumah RSRS dan sebuah Rumah SMJ telah diserahkan sebagai simbolik penyerahan rasmi kepada penerima yang layak di Kampung Linsuk, Putatan.

Menurut Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan, sejak tahun 2022, sebanyak 61 rumah SMJ telah berjaya dibina dan diserahkan, selain empat buah rumah RSRS diberikan kepada golongan yang memenuhi kriteria kelayakan.
“Kerajaan negeri Sabah telah meningkatkan kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ daripada 20 kepada 40 unit bagi setiap kawasan DUN pada tahun ini. Dengan adanya inisiatif ini, ia diharap dapat membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah yang lebih selesa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian surau Al-Amal di Kampung Pituru, Taman Pantai Lok Kawi semalam.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada sebarang projek rumah SMJ yang terbengkalai di kawasan Parlimen Putatan, walaupun terdapat cabaran dari segi keluasan tanah dan isu teknikal semasa lawatan tapak. Namun, kerajaan negeri sentiasa memastikan kontraktor yang dipilih berkemampuan untuk menyiapkan pembinaan rumah dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu antara empat hingga enam bulan.
Dalam pada itu, Shahelmey turut merasmikan Surau Al-Amal di Kampung Pituru, yang siap dibina pada penghujung 2024 dengan kos RM300,000. Surau ini menggantikan Surau Nurul Iman yang musnah dalam kebakaran pada pertengahan 2023.

“Selepas kejadian kebakaran, beberapa siri perbincangan telah diadakan bagi mengenal pasti tapak baharu. Alhamdulillah, pembinaan dimulakan pada pertengahan 2024 dan siap sepenuhnya hujung tahun lalu. Petang ini, kita menyempurnakan perasmian (petang Khamis) dan sebentar lagi, solat Maghrib berjemaah pertama akan diadakan di surau ini,” katanya.
Beliau turut menyeru penduduk Kg Pituru dan Taman Pantai Lok Kawi agar mengimarahkan surau dengan solat berjemaah serta majlis ilmu serta menjadikannya sebagai pusat komuniti bagi masyarakat Islam setempat.