Kudat : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya menahan 33 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi khas di sekitar bandar Kudat di sini Khamis lalu.
Semua individu yang ditahan dalam operasi khas yang dikoordinasikan ESSCOM itu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata, selain itu, sebanyak 95 premis kediaman turut diperiksa dalam operasi yang dijalankan melibatkan Kampung Tanjong Kapor, Kampung Landong Ayang dan Kampung Pangaraban.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat juga telah menahan seorang individu dewasa dalam keadaan khayal disyaki selepas mengambil bahan terlarang.
Menurutnya, individu terbabit dibawa ke IPD Kudat untuk saringan ujian air kencing serta siasatan lanjut di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Selaras dengan kejayaan operasi tersebut, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua petugas seramai 106 orang pegawai dan anggota yang menjayakan operasi kali ini serta semua Jabatan dan agensi yang terlibat.
“Objektif utama operasi yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak itu adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Victor berkata, kejayaan operasi itu juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM bagi memperkasa operasi-operasi sedia ada di bawah agensi terlibat.
Katanya, operasi itu turut dapat membantu Jabatan atau agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan menguatkuasakan undang-undang di ESS Zone selaras dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’ dan memastikan ancaman pencerobohan kumpulan anasir asing dapat dikekang.
“Selain itu ia juga dapat menjamin keselamatan dan ketenteraman awam di pantai Timur Sabah supaya kekal selamat dan terkawal.
“ESSCOM akan terus mempergiat operasi seumpama ini ke daerah-daerah di ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.
“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO ESSCOM