Oleh ERDIE AB WAHID
Kota Kinabalu : Taman-Taman Sabah (TTS) buat julung kalinya dalam tempoh 61 tahun berjaya memberikan insentif kewangan sebulan gaji kepada warganya menerusi pelbagai pencapaian yang dicapai selain pengurusan kewangan yang mampan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew berkata, insentif kewangan sebulan gaji itu melibatkan peruntukan sebanyak lebih RM1.5 juta itu adalah Lebihan Unjuran Hasil Tahun 2023.
”Pada tahun lalu, Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) telah melalui satu perjalanan yang gilang gemilang dimana sebanyak 79 program termasuk acara-acara besar telah berjaya dianjurkan sepanjang tahun sebagai pengisian sambutan Jubli Intan TTS.
”Antara acara besar dan signifikan adalah Pemasyhuran Kinabalu UNESCO Global Geopark, Triple Crown UNESCO dan Pelancaran Sambutan Jubli Intan (60) TTS oleh Ketua Menteri Sabah pada 19 dan 20 Januari 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Lembaga Pemegang Amanah TTS 2024 di sini semalam.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Josie Lai; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanh TTS Peter Lintar dan Pengarah Lembaga Pemegang Amanah TTS Dr Maklarin Lakim.
Christina berkata, acara besar yang berjaya dianjurkan TTS termasuklah penguatkuasaan penggunaan sistem kewangan tanpa tunai) di seluruh kawasan Taman bermula pada 1 Januari 2024, selain Penubuhan Pusat Kelestarian dan Pembangunan Komuniti (PULESTARI) pada Julai 2024.
Katanya, TTS turut berjaya menubuhkan Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu dan Galeri Gempa di Taman Kinabalu yang telah dirasmikan pada 17 Oktober 2024.
”Pelancaran pusat pendakian aras tinggi tersebut merupakan salah satu daripada inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Dalam pada itu, Christina berkata, TTS pada tahun ini telah menyusun sebanyak 154 program di dalam ’Calendar of Event 2025’ TTS yang juga merangkumi 49 acara besar termasuk peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
”Antaranya adalah Restorasi Karang Malaysia Book of Record Taman Tun Mustapha, Kudat; Persidangan Jaringan Geopark Malaysia dan Program Renjer Muda di peringkat Kebangsaan dan Negeri Sabah.
”Saya bagi pihak KePKAS akan terus menyokong dan membantu sedaya upaya bagi memastikan usaha-usaha TTS ini dapat direalisasikan,” katanya. – SABAH MEDIA