Semporna : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh kawalan perairan negara apabila berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang disyaki terlibat dalam aktiviti perikanan haram di perairan Tanjung Tabu Tabu, Semporna, malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, bot tersebut dikesan dalam satu operasi Op Pluto Timur 2/2025 yang dijalankan pada 26 Februari lalu.
Katanya, pemeriksaan yang dilakukan oleh penguatkuasa mendapati, bot enjin sangkut berwarna merah dan hijau itu membawa tiga kotak berisi karang pelbagai jenis yang dipercayai diperoleh secara haram.
“Pasukan operasi yang menaiki Bot Cenderawasih 09 segera menghampiri bot tiada nombor pendaftaran tersebut untuk pemeriksaan namun suspek telah melarikan diri dengan terjun ke laut dan memasuki hutan bakau berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan karang yang dimuatkan ke dalam tiga buah kotak dalam jumlah yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Amir berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, dan pihaknya turut sedang mengesan dalang di sebalik kegiatan tersebut.
Katanya, jumlah rampasan kes dianggakan berjumlah lebih dari RM 13,000.
“Maritim Malaysia memandang serius aktiviti pengambilan sumber marin secara haram yang boleh menjejaskan ekosistem laut.
“Justeru kami akan terus memperketatkan penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara digesa untuk menyalurkannya kepada Maritim Malaysia menerusi talian kecemasan 999 atau Zon Maritim Semporna di talian 089-782521 untuk tindakan segera. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA