KOTA KINABALU: Pembangunan yang mengetengahkan identiti tempatan serta mencerminkan kepelbagaian budaya Sabah mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, pelancongan dan pembangunan bandar yang mampan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keunikan masyarakat berbilang kaum, budaya dan tradisi di Sabah perlu terus diterapkan dalam pembangunan moden agar identiti negeri kekal terpelihara dan diperkasakan.
Menurutnya, pembangunan yang diinspirasikan oleh semangat komuniti dan warisan tempatan bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran yang lebih dinamik serta berdaya saing, malah meningkatkan daya tarikan Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Pembangunan seperti ini bukan sahaja penting dari sudut pelaburan hartanah, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan, peluang pekerjaan dan perkembangan ekonomi negeri secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Galeri Jualan Playground bagi pembangunan Riuh @ Sembulan, di sini, pada Ahad.
Masidi berkata, ketika Sabah terus memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi bandar, pembangunan yang menggabungkan elemen gaya hidup, hospitaliti serta penginapan moden akan memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi pembangunan jangka panjang negeri.
Pada masa sama, beliau menyifatkan pembangunan sektor industri dan logistik sebagai komponen penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah, memperkukuh ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS), mengembangkan aktiviti perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Menurutnya, pembangunan yang dirancang secara strategik mampu meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, menarik pelaburan baharu dan merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan pembangunan utama negeri.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak pembangunan berkualiti yang mengangkat identiti Sabah, merangsang aktiviti ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan bagi menyokong kemajuan serta kesejahteraan negeri pada masa depan.
Riuh KK Suites dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sebagai pemilik tanah, Golden Land Berhad selaku pemaju dan Maple Hospitality Group sebagai pengendali hospitaliti.
Turut hadir, Yang Dipertua USIA Datuk Sapawi Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif GLB Stewart Yap dan Pengasas Bersama MHG Danny Hor.



