HomeUtamaBazar Ramadan terus jadi tumpuan, meskipun terdapat kenaikan harga

Bazar Ramadan terus jadi tumpuan, meskipun terdapat kenaikan harga

Read Time:2 Minute, 18 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

Kota Kinabalu : Bazar Ramadan yang diadakan setiap tahun terutama di negeri ini sentiasa menjadi tumpuan masyarakat khususnya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu bagi mendapatkan juadah berbuka puasa.

Tinjauan Sabah Media di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka mendapati orang ramai mula membanjiri kawasan tersebut seawal jam 3.30 petang bagi mendapatkan hidangan berbuka puasa.

Lebih menarik, bazar berkenaan turut dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk para pelancong yang turut sama mahu mendapatkan juadah berbuka puasa.

Bagi pengunjung, Ahmad Fadhil, 29, mengakui pada tahun ini merupakan pengalaman pertama menjalani ibadah puasa di ibu negeri selepas berhijrah dari Lahad Datu.

Ahmad Fadhil

“Ini tahun pertama saya berpuasa di Kota Kinabalu, saya baru berhijrah ke Kota Kinabalu tahun lepas, jadi ini puasa pertama. Berbeza dengan tempat saya sebelum ini, Lahad Datu. Jika dilihat dari segi harga jualan ada berbeza.

“Tapi kita sedia maklum, kita faham mungkin tekanan ekonomi dan juga beberapa faktor inflasi dan kita lihat struktur ekonomi sekarang pun agak kurang memberangsangkan,” katanya ketika ditemui di sini petang tadi.

Bagi seorang peniaga sate yang mahu dikenali sebagai Yenny berkata, semua harga jualan masih dikategorikan sebagai mampu milik meskipun terdapat sedikit kenaikan kos bahan mentah.

Yenny (baju hitam) ketika menyediakan sate jamrut di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka

“Pada hari pertama ini, sambutan agak memberangsangkan mungkin disebabkan hari ini adalah hujung minggu. Jadi disebabkan itu ramai pengunjung cuti.

“Untuk harga makanan disini, sebenarnya kalau ikutkan semuanya mampu milik juga, sebab kalau diikutkan dengan bahan mentah yang kita ada sekarang dengan harga ada sekarang ini, adalah kategori masih boleh diterima. Namun saya akui kos barang saya naik 50 peratus,” katanya.

Perkara sama turut diakui peniaga Muhammad Imranshah Ibrahim,22, di mana terdapat kenaikan harga barangan mentah namun harga jualan masih boleh dikategorikan sebagai mampu milik.

Muhammad Imranshah (dua kanan) ketika melayani pelanggan di gerai jualannya

“Keadaan harga sini memang berpatutan, sesuailah. Untuk kita golongan-golongan yang B40 pun boleh datang sini juga, bukan orang tempatan saja, pelancong pun ada juga,” katanya.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum ini dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 16 lokasi Bazar Ramadan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dibuka untuk para pengunjung.

Antara lokasi terlibat adalah di Lintasan Deasoka melibatkan Dataran Lintasan Deasoka, Jalan Bandaran dan tempat letak kereta Lintasan Deasoka; Padang Merdeka (kawasan tempat letak kereta) dan Indah Permai (kawasan tempat letak kereta bersebelahan Bataras).

Selain itu turut dibuka di Pasar Malam Sembulan; Tanjung Aru (kawasan tempat letak kereta hadapan Daily Express); Pasar Malam Inanam; Pasar Malam Inanam Point; Pasar Malam Manggatal; Pasar Malam Kingfisher dan Plaza Manggatal.

Selain itu, lokasi lain termasuklah di University Apartment (UA); University Utama Square (UUS); Pasar Malam KK City Night Market (sebelah bangunan UMNO); 88 Marketplace; Plaza Juta LiLika Taman Awam DBKK Sungai Darau Greenway (hadapan bangunan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan / Mini Putrajaya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Ahli Majlis Daerah digesa laksana peranan secara aktif, berintegriti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular