Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menaiktaraf tiga bulatan jalan di kawasan bandaraya Kota Kinabalu termasuk mengganti replika ‘Ikan Todak’ kepada yang baharu.
Antara lokasi bulatan jalan yang bakal dinaik taraf adalah di bulatan Ikan Marlin (Bulatan Todak) Jalan Tun Fuad Stephens; Bulatan Bangau, Jalan Tugu dan Bulatan Wisma Perkasa (Bulatan Bunga Raya) Jalan Tun Fuad Stephens.

Difahamkan, replika ikan todak yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong asing akan turut diganti kepada yang baharu selepas keadaannya yang sudah uzur.
DBKK dalam kenyataan memaklumkan, kerja-kerja naik taraf bulatan terlibat bermula 21 Februari lalu sehingga 17 April depan.
Sehubungan itu, DBKK menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati semasa melalui kawasan bulatan jalan yang terlibat,
Pengguna juga perlu mematuhi arahan papan tanda amaran bagi tujuan keselamatan dan kelancaran trafik.
Semalam tular di media sosial memaparkan replika ikan todak berkenaan diangkat oleh sekumpulan pekerja dengan sebuah lori. – SABAH MEDIA