HomeIsu tempatanImpian penduduk miliki jalan lebih selesa tercapai

Impian penduduk miliki jalan lebih selesa tercapai

Read Time:1 Minute, 21 Second

Tamparuli:  Impian penduduk Kampung Guakon di sini untuk memiliki jalan yang lebih baik akhirnya menjadi kenyataan dengan pelaksanaan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Guakon.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, penaiktarafan jalan berkenaan menjadi simbol komitmen kerajaan dalam memastikan kemudahan asas yang berkualiti untuk masyarakat luar bandar.

Katanya, beliau amat memahami keperluan masyarakat setempat terhadap sistem jalan raya yang lebih baik.

“Kemudahan ini bukan sahaja akan memberikan keselesaan kepada penduduk, tetapi juga memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi, pendidikan, dan sosial di sini,”.

“Dengan infrastruktur jalan yang lebih baik, para penduduk dapat bergerak dengan lebih selesa dan selamat ke kawasan bandar untuk urusan harian, perniagaan, serta mendapatkan akses kepada perkhidmatan penting seperti kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, menghargai semua pihak yang telah berusaha bagi merealisasikan projek ini, termasuklah pemimpin terdahulu dan pemimpin sedia ada yang tidak pernah berhenti berusaha untuk memastikan keperluan rakyat diberi perhatian.

“Kesabaran dan kepercayaan masyarakat terhadap usaha ini amat dihargai, dan kini kita dapat melihat hasilnya, di mana projek naik taraf jalan seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuhkan infrastruktur luar bandar di seluruh Sabah.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Sabah, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, komited untuk terus memberikan tumpuan kepada pembangunan luar bandar melalui pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Saya yakin bahawa dengan siapnya projek ini kelak, ia akan membawa manfaat besar kepada penduduk Kampung Guakon dan kawasan sekitarnya.

“Semoga kemudahan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pembangunan yang akan datang, seiring dengan matlamat dan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya lagi. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

50 ahli PNK KK terima bantuan zakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular