Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ketua Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Awang Kadin Tang, mengesahkan bahawa pembayaran bagi penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SYUKUR) sedang dalam proses dan akan diteruskan secara berperingkat.
Menurutnya, seramai 55,000 penerima yang mempunyai akaun bank telah pun mula menerima bantuan berjumlah RM300 sejak pertengahan bulan Februari hingga Mac tahun ini, manakala penerima yang tidak mempunyai akaun bank akan menerima bantuan mereka melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.
“Bagi penerima yang telah berdaftar dalam sistem eKasih, mereka tidak perlu risau kerana bantuan ini akan tetap disalurkan kepada mereka. Namun, bagi mereka yang baru mendaftar, proses akan dilakukan secara berperingkat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media Jelajah Iftar KTC & UPPM di sini, hari imi.
Tambahnya, seramai 87,000 individu telah berdaftar dalam eKasih, dan mereka yang tersenarai dalam sistem itu akan menerima bantuan seperti yang dijanjikan. Manakala, kira-kira 30,000 lagi penerima yang belum mempunyai akaun sedang dalam proses penyelarasan.
“Penerima yang tidak mempunyai akaun bank mungkin akan menerima bantuan melalui mekanisme lain, seperti penggunaan kad pengenalan untuk membuat pembelian di pasar raya yang dilantik,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Kadin memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini daripada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sebelum memberikan arahan lanjut kepada Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) bagi menerangkan proses agihan bantuan kepada rakyat.
Beliau turut menasihatkan penerima agar tidak bimbang, terutama mereka yang telah berdaftar dalam sistem eKasih, kerana bantuan SYUKUR akan tetap diberikan seperti yang dirancang.
“Yang sudah berdaftar dan memenuhi syarat, jangan risau. bantuan pasti akan diterima,” katanya.
Bantuan SYUKUR 2025 telah dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 19 Februari di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Tuaran.
Program ini memberi manfaat kepada 100,000 penerima di Sabah, khususnya Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024. Setiap penerima layak menerima bantuan tunai RM300 sebulan sehingga akhir tahun.
Pembayaran dibuat secara berfasa dengan jumlah RM900 setiap tiga bulan. Fasa pertama diagihkan mulai Februari, diikuti fasa kedua pada April, fasa ketiga pada September, dan fasa keempat pada Oktober 2025.
SYUKUR bertujuan meringankan beban kewangan penerima, menyokong kehidupan lebih selesa, mengurangkan kadar kemiskinan, serta menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.