Oleh J.EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menggesa pihak berkuasa tempatan menilai semula kenaikan drastik fi lesen hotel di Kota Kinabalu yang dikhuatiri mengancam kelangsungan industri perhotelan, daripada hotel bajet hingga lima bintang.

Pengerusi MAH Sabah/Labuan, Hafizan Wong, berkata peralihan mendadak kepada struktur fi baharu di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel dan Rumah Penginapan) 1966 telah menyebabkan lonjakan kos operasi yang tidak terkawal, memberi tekanan kepada pemilik dan pengusaha hotel.
“Sebelum ini, fi lesen hanya RM10 bagi setiap bilik setahun. Kini, bayaran dikenakan berdasarkan kadar penghunian bulanan, menyebabkan hotel dengan 100 bilik dan kadar penghunian 60 peratus perlu membayar sehingga RM57,600 setahun berbanding RM1,000 sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hafizan, kenaikan ini boleh memaksa hotel mengurangkan perkhidmatan, memberhentikan pekerja, atau menutup operasi.

Sementara itu, Presiden MAH, Datin Christina Toh, menegaskan fi tinggi ini membebankan hotel berlesen yang sudah mematuhi undang-undang, sedangkan banyak Penginapan Sewa Jangka Pendek (STRA) beroperasi tanpa kawalan.
“Jika Kota Kinabalu mahu meningkatkan dana penyelenggaraan bandar, kawal selia dahulu STRA, bukan menghukum hotel berlesen,” katanya.
Kenaikan kos ini turut menjejaskan sektor pelancongan Sabah, dengan harga bilik dijangka meningkat dan mengurangkan daya tarikan bandar ini kepada pelancong.
Justeru, MAH menggesa Kerajaan Negeri Sabah dan DBKK menangguhkan pelaksanaan kadar baharu sehingga perbincangan lebih telus dapat diadakan.
Selain itu, MAH mencadangkan fi lesen hotel digubal semula agar lebih adil dan mampan, serta menggesa kawal selia lebih ketat terhadap STRA.
“Kami menyokong peraturan yang memperkasa industri, tetapi dasar mesti praktikal dan progresif. Pembuat dasar perlu mendengar suara industri,” tegas Christina.
Tambah Christina, MAH kini berunding dengan pihak berkuasa dan telah mengemukakan cadangan balas bersama Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu.
“Sebagai wakil industri hotel, MAH komited memperjuangkan penyelesaian yang adil bagi memastikan ekosistem hospitaliti di Malaysia kekal mampan dan kompetitif,” ujarnya.