Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Sebuah syarikat dikenakan denda sebanyak RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki produk beracun tanpa lesen serta 28 produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Prima Intima Sdn Bhd selepas pengarah syarikat itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan pada Isnin.
Bagi pertuduhan pertama, syarikat tersebut didenda RM1,500 kerana memiliki lima jenis produk mengandungi racun “Lignocaine” untuk tujuan jualan tanpa lesen yang sah di bawah Akta Racun 1952. Kesalahan itu dilakukan pada 31 Mac 2022 di premis syarikat di Taman Pinetop Villa.
“Lignocaine” atau umumnya dikenali sebagai ubat bius tempatan adalah racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952.
Bagi kesalahan ini, syarikat didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Sekiranya mahkamah berpendapat perbuatan tertuduh bersifat keingkaran sengaja atau kecuaian yang berpotensi membahayakan nyawa manusia, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, syarikat itu didenda RM5,000 kerana memiliki 28 keluaran tidak berdaftar pada masa dan lokasi yang sama, melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Pertuduhan dibuat di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan denda maksimum bagi kesalahan pertama ialah RM50,000, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda boleh meningkat sehingga RM100,000.
Ketua Penolong Pengarah Unit Cawangan Pengurusan Farmasi Nadia Aini Datu Rosmadi yang mengendalikan pendakwaan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa sebanyak 84 produk bernilai RM32,477 telah dirampas dalam operasi penguatkuasaan tersebut. Lima daripadanya disahkan mengandungi racun yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama, Akta Racun 1952, manakala 28 lagi merupakan produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam.
Dalam hujahannya, pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta sebagai amaran kepada pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
“Penjualan dan penggunaan produk yang mengandungi racun jadual seperti Lignocaine tanpa mengikut indikasi yang tepat adalah dilarang dan boleh membahayakan keselamatan pengguna.
“Bagi produk tidak berdaftar, keselamatannya diragui kerana ia tidak diuji atau dinilai oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Selain itu, identiti pengeluar produk tidak dapat dikenal pasti. Sekiranya berlaku kesan sampingan kepada pengguna, tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Syarikat berkenaan diwakili oleh peguam Amli Nohin dan telah melunaskan denda yang dikenakan.