Oleh FLORIETA DIET
PENAMPANG: Sebuah lori melanggar sebanyak 14 buah kenderaaan yang diletakkan di tepi Jalan Duvanson Putatan berhadapan Sekolah Kebangsaan Tansau pada 28 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newton berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 11.20 pagi mengakibatkan seorang mangsa mengalami cedera ringan. Manakala pemandu lori seorang lelaki warga asing berumur 56 tahun telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Penampang untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar 11 buah motokar, dua buah kenderaan jenis Jip dan sebuah motosikal.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Sehubungan dengan itu, Sammy meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Azmi Adam di talian 012-843 4330.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa behati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.