Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam membudayakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan pelajar, khususnya di kolej-kolej kediaman.
Sebagai usaha mencapai matlamat tersebut, Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dengan kerjasama Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH), UMS telah mengadakan Majlis Anugerah Penarafan Pengurusan KKP Kolej Kediaman Sesi 2023/2024 baru-baru ini.
Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol berkata, penganugerahan penarafan bintang kepada kolej-kolej kediaman tersebut adalah penting bagi menunjukkan komitmen universiti untuk mengekalkan piawaian keselamatan yang tinggi dalam persekitaran kampus universiti khususnya di kolej kediaman.
“Ini juga adalah bagi menggalakkan pelajar agar turut bertanggungjawab serta peka terhadap aspek KKP.
“Usaha ini turut selaras dengan matlamat universiti untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001: 2018),” katanya.
Stella turut menjelaskan, penarafan bintang kepada semua kolej kediaman UMS diberikan berdasarkan penilaian Jawatankuasa Penilai yang telah diadakan sebanyak dua siri iaitu siri 1 bermula pada 7 Disember 2023, manakala siri 2 telah diadakan bermula 4 Jun 2024.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor UMS (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berharap agar program seumpama itu dapat dilaksanakan sebagai salah satu program tahunan organisasi sebagai memupuk semangat kerja berpasukan.
Tambah beliau, amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja perlu diterapkan dan diamalkan oleh semua pihak bagi memastikan dan mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan dari berlaku.
Pada majlis tersebut, Kolej Kediaman Antarabangsa Kingfisher mendapat penarafan tempat pertama, manakala Kolej Kediaman Kampus Antarabangsa Labuan di tempat tempat kedua, dan Kolej Kediaman Lestari, Sandakan di tempat ketiga.
Hadir sama pada majlis tersebut wakil Sedafiat Sdn Bhd., Datin Dr. Mariam Mahmun, dan Pengarah COSH, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman. – SABAH MEDIA / FOTO UMS