HomeUtamaKes 'akaun keldai', Majistret nasihat jaga akaun bank seperti Kad Pengenalan

Kes ‘akaun keldai’, Majistret nasihat jaga akaun bank seperti Kad Pengenalan

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh J. EVACHEL JOHN

KOTA KINABALU: “Jaga akaun bank kamu seperti kamu menjaga kad pengenalan,” nasihat Majistret kepada seorang tertuduh yang didakwa memiliki wang secara curang dalam akaun banknya.

Majistret Dzul Elmy Yunus menegaskan bahawa apabila akaun bank jatuh ke tangan pihak yang tidak bertanggungjawab, ia boleh dijadikan ‘akaun keldai’, menyebabkan pemiliknya terpaksa menanggung akibatnya.

“Walaupun kamu tidak tahu, ia tetap menjadi satu kesalahan. Jika ada orang memasukkan wang ke dalam akaun kamu dan kamu gagal menjelaskan bagaimana ia diperoleh, itu adalah satu kesalahan.

“Kes sebegini sudah sering berlaku. Jadikan ia sebagai pengajaran dan pastikan perkara ini tidak berulang,” kata Majistret itu menasihati selepas menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh tersebut di sini, hari ini.

Terdahulu, Mazrina Elyana Basrin, 22, mengaku bersalah kerana memiliki wang berjumlah RM2,000 milik seorang lelaki dalam akaun banknya pada 24 Ogos 2024 di Bandar Sierra.

Mengikut kertas pertuduhan, wang itu dipercayai diperoleh secara curang, dan Mazrina gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai sumber wang tersebut.

Ketika disoal oleh mahkamah, Mazrina berkata dia tidak tahu bagaimana perkara itu berlaku kerana dia tidak pernah memberikan atau meminjamkan akaunnya kepada mana-mana pihak.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100 atau sehari penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan Kecil (Bab 80) Negeri Sabah, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Di mahkamah berasingan, seorang individu turut didenda RM200 atas dua pertuduhan serupa.

Redzuan Sulaiman, 40, didapati memiliki wang RM800 antara 2 hingga 3 Julai 2024 di Kampung Ganang, serta RM975 dalam akaun miliknya pada 28 Februari tahun ini di Luyang.

Majistret Marilyn Kelvin mengenakan denda RM100 atau empat hari penjara bagi setiap pertuduhan.

Dalam kes lain, seorang lelaki didenda RM100 atau tujuh hari penjara kerana memiliki motosikal yang diperoleh secara curang.

Rodi Salimin gagal menjelaskan bagaimana dia memperoleh motosikal tersebut ketika ditahan pada 22 Februari jam 2.15 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Pekan Manggatal.

Ketika menjatuhkan hukuman, Majistret Dzul menasihatkan tertuduh agar tidak sewenang-wenangnya menerima barang yang tidak diketahui asal usulnya, lebih-lebih lagi jika melibatkan kenderaan seperti kereta dan motosikal.

“Berhati-hati, walaupun ia datang daripada kawan kamu sendiri. Sebuah motosikal yang sah sepatutnya mempunyai nombor casis, tetapi dalam kes ini, motosikal yang berada dalam simpanan kamu didapati nombor casisnya telah dikikis, dan kamu gagal memberikan penjelasan mengenainya,” katanya.

Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah dan Inspektor Yusdi Basri masing-masing mengendalikan pendakwaan di hadapan Majistret Dzul dan Marilyn.

RELATED ARTICLES
Utama

Nvidia Umum Superkomputer Pertama Malaysia Bersama YTL, Dijangka Beroperasi Suku Ketiga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular