HomeUtamaMalaysia Lancar Gelombang Kedua Industri Semikonduktor dengan Kerjasama Arm

Malaysia Lancar Gelombang Kedua Industri Semikonduktor dengan Kerjasama Arm

Read Time:1 Minute, 37 Second

kuala lumpur — Malaysia melangkah ke era baharu dalam industri semikonduktor dengan pelancaran kerjasama strategik bersama syarikat teknologi global, Arm. Inisiatif ini menandakan perubahan fundamental dalam pendekatan negara terhadap industri teknologi tinggi, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam reka bentuk dan pengeluaran cip semikonduktor berteknologi tinggi.

Dalam ucapan perasmiannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bahawa Strategi Nasional Semikonduktor (NSS) yang diperkenalkan tahun lalu bertujuan untuk melonjakkan Malaysia melebihi peranan sebagai hab pengeluaran semata-mata.

“Hari ini, kita bukan sekadar merintis pembangunan cip AI buatan Malaysia, tetapi juga memastikan setiap aspek – daripada reka bentuk hingga pemasangan dan pengujian – dilakukan sepenuhnya di negara ini sebelum dipasarkan ke seluruh dunia,” ujar beliau.

Tambahnya, kerjasama dengan Arm ini melibatkan tiga komponen utama. Pertama, program latihan komprehensif untuk melahirkan 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) bagi memperkukuh tenaga kerja industri semikonduktor negara. Kedua, syarikat-syarikat Malaysia yang terpilih akan mendapat akses eksklusif kepada teknologi dan hak milik intelek (IP) Arm. Ketiga, pembangunan produk semikonduktor yang direka secara tempatan akan dipercepatkan bagi memenuhi keperluan pasaran global.

Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Arm turut mengumumkan pembukaan pejabat pertamanya di ASEAN, yang akan berpusat di Kuala Lumpur. Pejabat ini akan menjadi pusat operasi untuk pasaran Asia Tenggara, Australia, dan New Zealand.

Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan majlis Kerjasama Strategik Malaysia – Peneraju Global Semikonduktor bagi Pembangunan Cip AI di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.

Tambah Anwar lagi, beliau turut mengiktiraf usaha pelbagai kementerian dalam merealisasikan kerjasama ini, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Kewangan (MOF), serta Kementerian Ekonomi.

“Hari ini adalah detik bersejarah di mana Malaysia secara rasmi memulakan gelombang kedua industri semikonduktor. Kita bukan sahaja mencipta nilai tambah kepada ekonomi tempatan, tetapi juga meletakkan negara sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global,” tambahnya.

Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara dalam sektor teknologi tinggi serta memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia di peringkat antarabangsa.

RELATED ARTICLES
PolitikUtama

GRS tiada masalah tanding solo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular