BARCELONA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab inovasi masa depan dengan pelancaran rasmi Pavilion Malaysia di Mobile World Congress (MWC) 2025.
Pavilion Malaysia yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa itu mempamerkan kemajuan teknologi negara, khususnya dalam pelaksanaan 5G, infrastruktur digital, dan inovasi serantau.
Pavilion Malaysia menghimpunkan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), serta pemimpin industri seperti Digital Nasional Berhad (DNB), CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile, YTL, Edotco dan MEASAT. Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen negara dalam mempercepatkan transformasi digital dan memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Mohamad Fauzi berkata Malaysia bertekad membangunkan ekosistem digital yang memberi manfaat kepada rakyat dan rakan serantau.
“Pavilion Malaysia di MWC 2025 menjadi bukti kemajuan serta visi kita untuk masa depan yang lebih terhubung, inovatif, dan mampan,” katanya dalam majlis perasmian.
Antara tumpuan utama Pavilion ialah Pelan Infrastruktur Digital Nasional (JENDELA), yang telah mencapai lebih 9.03 juta premis dengan akses internet berkelajuan tinggi, mengatasi sasaran asal sebanyak 9 juta menjelang 2025.
Malaysia turut memperkenalkan Rangkaian Teras Multi-Pengendali 6-Way (MOCN), inisiatif pertama di ASEAN yang membolehkan pengendali rangkaian mudah alih berkongsi infrastruktur bagi meningkatkan kesalinghubungan.
Menurut Mohamad Fauzi lagi, penyertaan Malaysia di MWC 2025 membuktikan bahawa negara bukan sahaja bergerak seiring dengan kemajuan global, malah menyumbang inovasi yang memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Pavilion Malaysia turut menampilkan pelbagai pameran berkaitan aplikasi teknologi negara dalam sektor seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, penyiaran, pembuatan, bandar pintar, dan kecerdasan buatan (AI).
Antara tarikan utama ialah Nexus SKMM, alat analitik canggih yang membantu meningkatkan prestasi rangkaian serta menyokong perancangan bandar pintar.
Pavilion Malaysia di MWC 2025, yang berlangsung dari 3 hingga 6 Mac di Dewan 7, Ruang 7H51, menyediakan platform kepada pemimpin industri, pembuat dasar, dan inovator untuk berinteraksi serta meneroka kerjasama dalam memperkasa transformasi digital global.