HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan dua bot kargo bawa barang bersubsidi tanpa permit

Maritim Malaysia tahan dua bot kargo bawa barang bersubsidi tanpa permit

Read Time:1 Minute, 38 Second

Tawau :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua bot kargo tempatan yang membawa lebih tujuh tan barang bersubsidi tanpa permit dalam dua operasi berasingan Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan dan operasi penguatkuasaan yang diperketatkan bagi membanteras penyeludupan barang kawalan, terutama menjelang musim perayaan.

“Dalam kes pertama, sebuah bot kargo tempatan ditahan di kedudukan 1.7 batu nautika selatan Batu Tiga kerana membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pemeriksaan mendapati, seorang juragan lelaki tempatan berusia 32 tahun membawa muatan 415 pek beras, 80 karton gula pasir, 19 kotak tepung gandum, dan tujuh kotak minyak masak tanpa dokumen sah. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Dalam kes kedua, bot peronda Maritim Malaysia berjaya mengejar dan menahan sebuah lagi bot kargo di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau pada pukul 11.30 malam selepas dikesan memecut laju ke arah perairan Pulau Sebatik.

“Hasil pemeriksaan, juragan lelaki tempatan berusia 35 tahun didapati membawa 50 tong gas LPG berisi serta 65 pek beras anggaran 10 kilogram tanpa sebarang permit sah. Lebih mencurigakan, nama juragan tidak tersenarai dalam lesen operasi bot tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 serta Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Berikutan penahanan itu, kedua-dua bot bersama muatan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.

Tambahnya,  anggaran keseluruhan nilai rampasan, termasuk bot dan enjin, mencecah hampir RM126,000.

“Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan Timur Sabah (ESSZONE), sekali gus memastikan kedaulatan perairan negara terpelihara.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau dengan menghubungi talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

50 ahli PNK KK terima bantuan zakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular