KOTA KINABALU: Empat buah kenderaan yang diparkir berhampiran Masjid Bandaraya Likas terbakar dalam kejadian yang berlaku ketika pemiliknya dipercayai sedang menunaikan solat Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS999 pada jam 12.59 tengahari tadi (7 Mac) sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi mendapati empat buah kenderaan telah terbakar dan operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran sumber air dari tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.07 petang dan operasi sepenuhnya tamat pada jam 1.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Toyota Alphard mengalami kerosakan paling teruk dengan 90 peratus terbakar, diikuti Proton Iriz 60 peratus, Proton Iswara 7 peratus, dan Proton Saga 5 peratus.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner (ACP) Kasim Muda berkata pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
“Maklumat awal yang diperoleh setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur khianat,” katanya ketika dihubungi Sabah Media dan mengesahkan kejadian itu.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan tidak meninggalkan sebarang bahan mudah terbakar di dalam kenderaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.