KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 55 tahun cedera parah selepas dihempap runtuhan lantai tingkat satu sebuah restoran di Jalan Segama, di sini, malam tadi (7 Mac).

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama 13 anggota digerakkan ke lokasi.
Jentera tiba lima minit kemudian, dan mendapati runtuhan simen telah menghempap seorang wanita di dalam premis berkenaan.
Bagaimanapun, mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada ancaman lain sebelum mengarahkan orang awam mengosongkan bangunan.
Operasi terkawal pada jam 8.30 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 9.38 malam.
Turut hadir dalam operasi itu ialah enam anggota polis (PDRM) dan tiga anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Punca kejadian masih dalam siasatan.