Beaufort : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam menyangkal dakwaan pemimpin Parti Warisan mengenai jambatan gantung di Kampung Galila Jaya, Padas Damit di sini yang telah uzur dan tidak diberi perhatian sewajarnya.
Katanya, perancangan bagi membaik pulih jambatan gantung itu telah dimasukkan di dalam peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Februari tahun ini.
Menurutnya, peruntukkan itu kini dalam proses dan menunggu kelulusan yang dijangka selesai pertengahan bulan ini.
“Saya amat menghargai usaha dan inisiatif penduduk kampung yang bergotong-royong membaiki jambatan gantung berkenaan sebagai laluan tambahan bagi memudahkan pergerakan ke rumah berkenaan.
“Sikap tolong-menolong seperti ini mencerminkan semangat kebersamaan yang kuat dalam masyarakat.
“Kita juga mempunyai perancangan untuk membaik pulih jambatan gantung berkenaan yang kini telah pun kita masukkan dalam peruntukan ADUN pada Februari lalu dan kini ianya dalam proses menunggu kelulusan yang dijangka selesai Mac 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Bahagian Warisan Sipitang, Abd. Aziz Taip yang melihat kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan berkenaan tidak peka terhadap permasalahan penduduk kampung.
Ruslan yang Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, jambatan itu merupakan laluan kedua yang digunakan penduduk, khususnya bagi menghadiri majlis perkahwinan, ziarah keluarga dan aktiviti sosial.
Katanya, pembangunan infrastruktur merupakan satu proses berterusan yang memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang tersusun.
“Oleh itu, sebarang keperluan mendesak akan terus diperhalusi mengikut keutamaan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya sentiasa komited untuk memastikan keperluan rakyat terjaga dan akan terus mencari jalan terbaik bagi memastikan prasarana yang lebih selamat dan selesa untuk masyarakat di Kampung Galila Jaya,” katanya.
Dalam pada itu, Ruslan berkata, pihaknya turut meningkatkan infrastruktur di kampung berkenaan sebelum ini, termasuk penaburan batu di laluan menuju ke rumah penduduk berkenaan serta jalan-jalan sekitar kampung pada tahun 2023.
“Sebagaimana dalam dakwaan bahawa tiada jalan ke rumah penduduk berkenaan selain jambatan, ia adalah tidak benar sama sekali,” katanya.- SABAH MEDIA