Oleh J. EVACHEL JOHN
KOTA KINABALU: Seorang pengurus projek syarikat pembinaan swasta dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah hari ini atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM46.8 juta berkaitan projek pembinaan jalan raya.
Dokumen yang mengandungi butiran palsu itu dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi tujuan mendapatkan bayaran bagi “Pembinaan Projek Persimpangan Bertingkat dan Lorong Ke Tiga di Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah (Persimpangan (i) Jalan Lintas/Jalan Kolam (ii) /Jalan Tuaran Batu 5 1/2)”
Tertuduh, Victor Voo Chung Sain, 51, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga.
Victor didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan dengan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Billed Items bertarikh 30 Disember 2016, dalam Bayaran Interim bagi projek tersebut berjumlah RM394,915.56.
Victor didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 di JKR Sabah.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan dengan menggunakan Billed Items bertarikh 31 Julai 2017, dalam Bayaran Interim bagi projek sama bernilai RM425,293.68, antara 31 Julai 2017 hingga 1 Ogos 2017, di tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu Site Measurement bertarikh 24 April 2018, yang mengandungi tandatangan dipalsukan bagi projek yang sama, dengan nilai kontrak keseluruhan RM46,028,504.04.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 April 2018, di tempat yang sama.
Voo merupakan pengurus projek di Azam Jaya Sdn Bhd ketika kesalahan itu berlaku.
Mahkamah menetapkan 14 April sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM15,000, dengan deposit RM8,000 serta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan, termasuk arahan untuk melapor diri ke pejabat SPRM setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, serta larangan untuk mengganggu saksi pendakwaan.
Tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Rekhraj Singh.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM15,000 dengan deposit RM10,000, tetapi pihak pembelaan mencadangkan RM2,000 sahaja.
Pihak pembelaan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh kini bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta lain.