Kota Kinabalu : Daerah Beaufort terus mencatat jumlah peningkatan mangsa terjejas banjir apabila seramai 1,202 mangsa dipindahkan ke empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 3,579 mangsa keseluruhan melibatkan 1,203 keluarga di lima buah daerah di negeri ini.
Daerah Sook menjadi daerah kedua tertinggi apabila seramai 763 mangsa dipindahkan di dua PPS iaitu Dewan Membulu Sook dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan II Sook melibatkan 241 keluarga.
Manakala di Tenom, seramai 741 mangsa telah dipindahkan ke lapan buah PPS melibatkan 276 keluarga.
Antara PPS yang dibuka di Tenom adalah di Dewan Batu-Batu; SK Mandalom Lama; Dewan Sri Antanom; Dewan Jinuin Jimin; Kg Mandalom Lama; RK Poguokon Laut; Pantungon Saga dan SK Saga.
“Di daerah Membakut pula, seramai 737 mangsa telah dipindahkan ke dua PPS melibatkan 245 keluarga iaitu di PPS Dewan Kesenian Islam Membakut dan Dewan Seri Bongawan.
“Manakala di Keningau, seramai 136 mangsa melibatkan 50 keluarga dipindahkan di dua PPS iaitu di Dewan Masyarakat Daerah Keningau dan Dewan Dato’ Angin Abdulang Apin-Apin,” menurut kenyataan itu di sini. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH