Oleh ERDIE AB WAHID
Beaufort : Sebanyak 29 buah sekolah dibawah empat pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sabah dilaporkan masih terjejas dengan banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, sekolah terlibat adalah membabitkan daerah Beaufort, Beluran, Telupid/Tongod dan Tenom.
“Hujan lebat berterusan menyebabkan daerah Beaufort terkesan bencana banjir. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) telah mengisytiharkan bencana di daerah Beaufort pada 7 Mac lalu jam 10 malam.
“Sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 23 buah sekolah di Beaufort dilaporkan masih banjir manakala empat buah sekolah telah surut..
“Selain itu situasi banjir di daerah lain beransur pulih dan hanya sebuah sekolah di daerah Beluran dan Telupid masih banjir. Manakala empat buah sekolah di Tenom dilaporkan masih terkesan banjir,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.
Raisin berkata, antara sekolah yang terlibat di Beaufort adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Mempagar; SK Pekan Membakut; SK Lago dan SK Bangkalalak; SK Klias Baru; SK Lupak; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST John; SMK ST Paul; SK Kg Brunei; SK Suasa; SK Pintas; SK Batu 60; SK Bukau dan SK Garama.
Selain itu katanya, SK Biah Batu 65; SJKC Kung Ming; SK ST Patrick Membakut; SJKC Lian Hwa; SK Sinoko; SK Kebulu; SK Luagan; SK Takuli dan SK Rancangan Klias.
Manakala di Beluran, sekolah yang terjejas adalah di SK Sualok dan SK Kenang Kenangan di Telupid serta empat di Tenom melibatkan SK Kalang Kanar; Sk Inubai; Sk Ladang Sapong dan SK Paguokon.
Sementara itu, lima sekolah di tiga daerah digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di SMK Membakut; SMK St Patrick Membakut; SK Mandalom Lama Tenom; SJKC Chung Hwa Tenom dan SK Pekan Keningau II. – SABAH MEDIA / FB SK KAMPUNG BRUNEI MEMBAKUT