Oleh NORMIMIE DIUN
BEAUFORT: Keadaan banjir di daerah ini memasuki hari ketiga dengan paras air terus meningkat, menyebabkan penduduk Kampung Luagan Sanginan kira-kira 5 kilometer dari Pekan Beaufort terpaksa mencari alternatif bagi mendapatkan keperluan harian.

Ketua Kampung, Roslee Alias, berkata hujan lebat yang berterusan mengakibatkan kawasan itu hampir lumpuh, mendorong pihaknya mengambil inisiatif meminjam sebuah lori treler milik Abdul Syahri Abdul Rahim bagi membawa penduduk ke pekan berhampiran.

“Jalan raya utama kampung ini yang menghala keluar ke pekan tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil kerana air sudah melimpah naik dan deras atas jalan. Saya dan pemimpin kampung lain mengambil inisiatif hanya lori treler sahaja yang boleh meredah banjir buat masa ini.
“Alhamdulillah, Syahri dengan senang hati meminjamkan lori beliau. Kami berusaha memastikan penduduk dapat keluar membeli barangan keperluan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Beliau bersama beberapa pemimpin kampung lain telah mengatur empat perjalanan ulang-alik menggunakan lori berkenaan, bermula jam 10 pagi hingga 5 petang, bagi memastikan penduduk mendapat bekalan mencukupi.
“Walau bagaimanapun, keselamatan penumpang (penduduk) yang menaiki lori ini adalah keutamaan kami. Kami hanya membenarkan setiap keluarga seorang wakil sahaja untuk menaikinya dan tidak terlalu ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Roslee berkata paras air yang terus meningkat turut menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menyebabkan talian komunikasi dan bekalan elektrik terputus pada bila-bila masa.


Roslee turut memaklumkan pihak penduduk kampung mengambil langkah awal dengan memindahkan empat keluarga ke Masjid Al-Ghafar Kg Luagan sebagai langkah keselamatan.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama penduduk kampung, belia dan sukarelawan yang membantu meringankan beban dalam keadaan sukar ini.
“Kami hanya mampu berdoa agar banjir segera surut. Ini adalah ujian besar buat kami, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.
Kg Luagan Sanginan merupakan antara kawasan paling terjejas teruk, dengan paras air mencecah sehingga lima kaki, menyebabkan rumah penduduk di kawasan rendah ditenggelami banjir.
Bagaimanapun, semangat gotong-royong dan keprihatinan masyarakat setempat menjadi penyelamat dalam menghadapi musibah ini.