Kota Kinabalu : Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud masih membuat penilaian dan belum memutuskan kerusi mana yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah bagaimanapun tidak menolak untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk yang pernah ditandinginya pada PRN-16.
Namun katanya, ia juga adalah tertakluk kepada perundingan dengan rakan parti lain yang akan bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan (PH).
“Tempasuk antara kerusi yang berpotensi, tapi pada masa yang sama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menyatakan mahu bertanding di sana, namun bagi saya perkara itu biasa.
“Begitu juga di kerusi DUN Api-Api yang disandang Datuk Christina Liew, beliaupun calon kita di sana, tapi GRS juga mungkin berminat meletak calon di sana.
“Jadi, kita tunggu saja selepas rundingan nanti siapa yang akan diberi laluan untuk meletak calon. Kita ada calon, orang lainpun ada calon mereka,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sabah yang juga Pengerusi Biro Politik PKR Sabah Datuk Seri Christina Liew.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding di kerusi DUN Tempasuk.
Kerusi berkenaan pernah ditandinginya atas tiket PKR ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN) pada September 2020, namun tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN) pada ketika itu, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Mohd Arsad yang kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut dijangka mahu mengekalkan kedudukannya di kerusi berkenaan pada PRN17, kali ini atas tiket GRS.
Mustapha bagaimanapun menyifatkan pendekatan mengumumkan lebih awal bakal calon di sesuatu kerusi bukan langkah yang sesuai sebelum kerjasama politik dibentuk kerana boleh menyebabkan pergeseran antara parti.
“Kalau boleh jangan umum calon sebelum ada kerjasama antara parti bagi mengelak pergeseran. Tapi kita tidak boleh menghalang jika ada pihak yang mahu berbuat demikian.
“Namun, bagi PKR kita mahu menjaga integriti, kita tidak mahu mengumumkan lebih awal tanpa rundingan sebab itu adalah prosesnya dan kita berharap semua parti memahami perkara ini,” katanya. – SABAH MEDIA