SIPITANG : Seramai 21 peserta menyertai Kursus Penanaman Durian bagi mempelajari teknik penanaman dan pengurusan agronomi durian sekali gus membantu menjana ekonomi masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, penganjuran kursus itu mampu meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan masyarakat mengenai tatacara pengurusan agronomi dan teknik penanaman durian di daerah berkenaan
“Kursus sebegini amat penting kerana dapat memberi manfaat dan ilmu kepada peserta kursus serta memberi pendedahan berkaitan pertanian dalam usaha memperkukuhkan ekonomi di daerah ini.

“Program ini dapat meningkatkan pengetahuan kepada peserta khususnya mereka yang memiliki kebun sendiri kerana pelbagai informasi berkaitan penanaman durian serta tanaman buah-buahan lain telah dikongsikan oleh tenaga pengajar sepanjang kursus ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Penutupan Kursus Penanaman Durian yang bertempat di Pusat Kemahiran Masyarakat Sipitang, pada Khamis.
Matbali berharap program berkenaan terus mendapat sambutan masyarakat setempat bagi memastikan penanaman buah durian di daerah itu terus berkembang dengan sokongan Pejabat Daerah serta agensi berkaitan.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sipitang, Abd Karim A. M Zahari; Pengurus Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran, Petronas Liquefied Natural Gas 3, Adiba Farhana Abu Bakar; Ketua Pegawai Pertanian Kanan, Pejabat Pertanian Daerah Sipitang, Arbaania Simbo dan Ketua Unit Agronomi Tanaman Seksyen Pengembangan dan Transformasi Teknologi Pertanian, Tuaran, Rosli Awang Said.
Program tersebut dianjurkan oleh Petronas dengan kerjasama Pejabat Daerah Sipitang dan Pejabat Pertanian Daerah Sipitang.



