Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan lanjutan selama sebulan bagi penilaian psikiatri terhadap lelaki warga emas dalam kes pembunuhan wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat di Indah Permai, Sepanggar.
Majistret Dzul Elmy Yunus menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes Piluta Samad, 71, sementara menunggu laporan penilaian mental dari Hospital Mesra Bukit Padang disiapkan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa laporan psikiatri Piluta masih belum dapat disediakan dan tertuduh, memerlukan pemerhatian dan penilaian lanjut untuk tempoh sebulan lagi di Hospital Mesra Bukit Padang.
Tiada bantahan dikemukakan oleh pasukan guaman diketuai oleh Datuk Ram Singh yang mewakili tertuduh. Ram berkata pihaknya berharap permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dapat dibuat pada sebutan akan datang.
Piluta tidak dibawa ke mahkamah pada prosiding hari ini.
Peguam Joan Goh, Ian Vun dan Prem Elmer Ganasan turut mewakili tertuduh.
Pegawai pendakwa Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh.

Mahkamah sebelum ini, pada 15 April lalu, memerintahkan Piluta menjalani pemerhatian selama 30 hari di Hospital Mesra susulan permohonan pasukan guaman untuk merujuk tertuduh bagi penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Piluta pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 27 Februari lalu, apabila didakwa atas pertuduhan membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @Lisa, 44, pada 11 Februari 2026, di antara jam 6 petang hingga 7 malam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Sekiranya, tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Pengakuan tertuduh hanya akan direkod selepas kes dipindahkan ke sana.
BERITA BERKAITAN:



